
Tiap kali Aidilfitri menjelma kita semua ada kenangan & kisah silam yang melintas di fikiran. Sama ada kisah sedih atau gembira.
Dahulu, masa zaman kanak-kanak (ala2 zaman purba sebab pemikiran manusia pada zaman tu masih ada yang tak open minded), saya membesar dalam suasana yang penuh diskriminasi. Walaupun ayah seorang guru tapi kami bukan hidup mewah. Berbanding dengan adik-beradik ayah yang lebih berpelajaran tinggi & berjawatan besar. Pada saya, bukan kerana taraf pendidikan, tetapi cara didikan keluarga ayah yang begitu & kekhilafan ayah dalam pengurusan kewangan, menjadikan kami seolah-olah serba kekurangan di mata orang yang lebih berada dari kami.
Saya membesar di luar bandar & kebanyakan tempat ayah berkhidmat adalah di kawasan kampung/felda. Bagi saya, saya happy dengan kehidupan & kawan2 saya di felda tetapi ada pihak yang memandang kami adik-beradik sebagai “anak orang kampung” yang kolot & tak moden.
Raya adalah time yang kami adik-beradik rasa tak happy sebab bukan tiap tahun dapat baju baru atau makanan yang best. Mak saya ambil upah menjahit tetapi kadang-kadang tak sempat siapkan baju anak-anak.
Pada masa tu, nak beli baju raya kena tunggu orang yang tempah baju kat mak bayar dulu. Tetapi kebanyakan orang bayar beberapa hari sebelum raya, so kami tak sempat beli kain untuk buat baju. Biasanya mak akan beli 4-5 meter kain untuk kami 3 beradik perempuan share (semua baju kami sedondon).
Ada sekali, mak berusaha siapkan baju saya pada malam raya. Pada masa tu, umur saya 7 tahun, zaman elektrik hanya ada beberapa jam sehari di kawasam felda. So, pada malam tu mak guna pelita untuk menjahit. Tanpa sedar, api pelita menyambar baju raya saya. So…baju tu tak dapat di pakai pada 1 Syawal. Of course..sebagai kanak-kanak normal, saya menangis tersesak-esak. Saya dah tak ingat saya pakai baju apa pada 1 Syawal tu.
Juadah raya juga ala kadar. Kalau ayah “ada mood” nak beli, akan ada rendang & lemang atas meja. Jika tidak, mak akan goreng nasi dengan kunyit tanpa awas lain. So nampak la nasi tu ala2 pulut kuning atau nasi minyak tanpa lauk hehehe.
Pernah juga mak saudara bagi baju terpakai kat kami adik-beradik. Tetapi pagi raya ayah marah. Ayah tak bagi pakai kerana tak mahu kelihatan tak mampu sediakan baju raya untuk kami. Ayah suruh pakai baju tahun lepas yang dah singkat. Kami akur sahaja.
Bila berziarah ke rumah orang kaya, kami adik-beradik tak dibenarkan duduk di atas sofa. Kami akan duduk terasing dari ahli keuarga yang lain (bukan semua keluarga begitu, ada juga yang baik). Kami makan atas lantai dengan amaran “Jangan ada sebutir pun nasi jatuh ke lantai”. Semua ini membuatkan kami rasa kami tak seronok beraya.
Sewaktu saya berusia 16 tahun, mak & ayah bercerai. Ayah dibuang kerja & masuk lokap akibat salah laku dalam kerjayanya. Mak pulang ke kampung & jual kuih. Sejak itu keluarga kami dipandang lebih rendah dari sebelumnya.
Saya menumpang hidup di rumah saudara yang kaya. (Kami adik-beradik semuanya terpisah. Tinggal di rumah orang & berasingan.)
Tetapi saya tidak dilayan dengan baik. Di bulan Ramadhan, saya hanya boleh makan setelah semua ahli keluarga tuan rumah selesai makan. Jika ada sisa makanan, alhamdulillah. Jika tak ada, air suam adalah satu-satunya menu berbuka atau sahur saya.
Honestly, saya pernah mencuri sekeping biskut di tengah malam kerana terlalu lapar setelah beberapa hari tak makan. Keesokan harinya, tuan rumah memanggil saya & berkata “Dalam rumah ni ada tikus. Tikus curi biskut malam tadi. Biskut hilang sekeping”. Saya tak pasti sama ada rumah tu ada cctv atau ada orang nampak atau memang tuan rumah sejenis yang mengira kepingan biskutnya. Wallahua’lam.
Sejak itu, saya mulai menahan lapar. Tetapi, akhirnya saya pengsan di dalam bilik stor yang saya di tempatkan di rumah mewah itu. Keesokan harinya, maid di rumah tersebut sedar ketiadaan kerana saya tidak keluar bersahur. Maid tersebut bagi saya makan nasi & sedikit sisa kuah yang beliau simpan untuk saya. Pada masa tu, saya sedar hati seorang maid lebih mulia dari orang kaya. Alhamdulillah Allah jaga saya, masih ada penghuni rumah yang simpati dengan saya.
Selepas raya saya bertekad keluar dari rumah tersebut kerana saya tak dibenarkan balik beraya bersama mak di kampung. Tuan rumah sangat marah & menegaskan agar saya tidak lagi menjejakkan kaki ke rumanhnya. Saya keluar tanpa linangan air mata…tetapi dengan pandangan seorang remaja 16 tahun yang sedang marah. Sejak itu, saya tak pernah kembali ke rumah itu.
Setelah beberapa tahun, tuan rumah jatuh sakit & saya datang menziarahi beliau ketika beliau sedang nazak. Diberitakan oleh anaknya, beliau telah lama sakit & sentiasa menyebut nama saya. Beliau minta maaf dengan saya & saya maafkan beliau. Selepas seminggu, beliau menghembuskan nafas terakhir.
Apabila saya mulai bekerja pada umur 17 tahun saya bertekad untuk hidup sendiri & tak mahu menumpang sesiapa lagi. Saya sewa sebuah bilik kecil yang boleh memuatkan sebuah tilam bujang & sedikit ruang untuk letak pakaian serta solat, berharga RM80/bulan. Sejak itu, saya ambil mak dari kampung & kami hidup di dalam bilik kecil itu selama beberapa tahun.
Saya bekerja sebagai kerani & pada waktu malam saya ajar anak jiran-jiran buat kerja sekolah dengan caj RM5/jam. Saya juga ambil upah siapkan tesis untuk pelajar master. Begitulah cara saya mencari duit untuk kelangsungan hidup.
Pada ketika itu, beberapa bulan sebelum raya, saya akan mula membeli baju raya untuk mak, kakak-kakak & anak saudara saya. 1 pasang 1 bulan. Berdikit-dikit sehingga selesai semua keperluan pada bulan Ramadhan. Saya happy dapat gembirakan keluarga saya.
Sekarang kehidupan saya jauh berbeza dengan dulu tetapi saya tetap sayang ahli keluarga saya & tetap beli keperluan raya untuk mereka. Kami semua dah bekerluarga & kami bersatu kembali.
Pengajaran dari kisah hidup saya ialah, tak kisahlah sama ada kita susah atau senang, keluarga tetap diutamakan. Tidak ada orang yang akan sayang kita seperti ahli keluarga & darah daging sendiri.
Jangan jadi orang sombong, kedekut atau bangga dengan kekayaan, kerana semua itu Allah yang punya. Semuanya hanya pinjaman kepada kita.
Buat lelaki bergelar suami: jangan terlibat dengan arak, judi & perempuan, kerana itu adalah perosak utama rumah tangga.
Alhamdulillah ayah saya telah kembali ke rahmatullah dengan baik setelah beliau kembali ke jalan Allah swt. Malahan sebelum ayah meninggal, ayah sempat mewakafkan (hasil duitnya & adik-beradik ayah) untuk menyiapkan sebuah surau di kampungnya. Surau itu masih digunakan sehingga ke hari ini.
Alhamdulillah semuanya jadi kenangan yang perlu diambil sebagai ibrah. Bukan untuk saya membenci orang kaya atau hari raya.

Dahulu, masa mak belum skizo, mak selalu pesan “Cari ilmu! Cari ilmu! Cari ilmu! Mak takde harta nak bagi kamu” Benar kata mak, hanya dengan ilmu kita mampu meneruskan hidup walaupun penuh ranjau atau dicampak ke mana sahaja. Sama ada ilmu dunia atau dunia akhirat. Kedua-duanya sama penting. Walaupun adab lebih penting dari ilmu, kedua-duanya perlu seiring.
Antara hikmah dari apa yang saya lalui, saya jadi seorang yang sentiasa bersedia dengan “SURVIVAL MODE”. Di usia sekarang, pelbagai ujian datang menimpa, tanpa sedar saya auto ready untuk sebarang kemungkinan & yakin saya mampu melaluinya, Allah sentiasa ada dengan saya.
Buat sahabat yang gigih membaca, semoga kalian semua tidak menyalahkan takdir jika pernah hidup dalam cacian, makian atau hinaan. Orang beriman akan sentiasa yakin bahawa Allah swt sayang kita. Allah sentiasa ada dengan kita sama ada ketika kita senang atau susah. Cuma, kitalah yang lalai & selalu lupakan Allah.
Baiki diri & iman kita, mudah2han kita sentiasa dalam jagaan Allah swt.
Fi khairin wa lutfin wa’afiah
Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Rabu, 11.3.2026
#penulis
#penulisebook
#usahawan
#mentorUMPSA
Pingback: IHDINAS SIROTOL MUSTAQIM BAB 2: KELUAR DARI TEMPURUNG | I Am Salju Putih