HADAPI UJIAN & BANGKIT BERSENDIRIAN

Just Move On & Never Turn Back!

.

Baru-baru ini saya dipeluk oleh seseorang sambil berbisik “Saya tengok Zan semakin kuat sekarang.”

Automatically hati jadi sebak & air mata menitis dalam pelukan itu. Sesungguhnya, saya tidak sekuat mana tetapi Allah swt yang buat saya “KELIHATAN” kuat.

Menghadapi ujian hidup memerlukan kesabaran, ketenangan hati, dan keyakinan bahawa setiap cabaran ada hikmahnya. Sebagai orang Islam, walaupun terasa berat atau seolah-olah sendirian, kita sebenarnya tidak pernah bersendirian kerana sentiasa ada pertolongan dari Allah swt dan panduan dalam Islam untuk melaluinya.

Tidak semua orang punya tempat mencurah perasaan atau meminta pertolongan. Ada orang punya ahli keluarga atau sahabat yang boleh disandarkan bahu, tetapi ada orang tidak bernasib baik, tak punya sesiapa untuk meraih sokongan dalam hidupnya. Dia berjuang sendirian. Hanya bergantung kepada Rab nya & mengharap doa dari orang sekeliling.

Pengkhianatan sering membuka mata kita kepada kebenaran yang tersembunyi serta menguatkan kematangan emosi dan spiritual kita. Tidak kiralah pengkhianatan itu dari siapa; orang yang kita kenal, ahli keluarga atau orang tersayang, bahkan orang yang kita tidak kenal sekalipun, mereka mampu menyakiti hati kita dengan tujuan merosakkan kebahagiaan hidup kita. Mungkin sahaja asbab hasad & dengki atau apa-apa tujuan sekalipun.

Berikut adalah antara hikmah yang boleh diambil apabila dikhianati:

▶️ Pendedahan sifat sebenar:
Ia membantu menyingkap niat atau sikap sebenar seseorang supaya kita tidak terus terperangkap dalam hubungan atau keadaan yang merugikan. Mungkin selama ini kita terlalu mempercayai seseorang tetapi sebenarnya orang itu tidak sebaik & ikhlas yang kita sangka.

▶️ Lebih berhati-hati dan meletakkan batas:
Kita belajar menilai kelayakan seseorang sebelum memberi kepercayaan atau ruang yang terlalu besar.
Siapa di hati kita selama ini?
Adakah Allah swt & Rasulullah ﷺ atau makhluk? Apabila Allah swt menjentik hati kita dengan pengkhianatan, itulah petanda Allah swt memberi sedikit kesedaran agar kita jangan sesekali mengagungkan manusia.

▶️ Tidak terlalu bergantung kepada manusia:
Kecewa mengajar kita untuk tidak meletakkan harapan sepenuhnya pada manusia dan kita akan lebih mendekatkan diri kepada Allah swt.

▶️ Melatih kesabaran, keikhlasan, dan kemaafan:
Menghadapi luka tanpa membalas dendam membantu menyucikan hati dan menjadikan kita lebih tenang. Yang lebih mulia ialah, berbuat baik kepada orang yang mengkhianati kita & ahli keluarganya.

▶️ Peluang untuk bangkit dan berkembang:
Pengalaman pahit boleh menjadi dorongan untuk memperbaiki diri, menjaga integriti, dan membina kehidupan yang lebih sihat. Kebiasaannya, seseorang akan menjadi lebih kuat secara dalaman selepas bangkit dari luka.

Mengakui kesakitan dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk pulih adalah langkah pertama yang paling penting untuk bangkit daripada luka pengkhianatan. Adalah normal untuk menangis, menjerit & bersedih seketika ketika disakiti. Tetapi jangan berlama-lamaan.

Yakinkan diri: kita tidak bersendirian.
Allah ada dengan kita!

Surah At-Taubah, ayat 40:
لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا
“La tahzan, innallaha ma’ana”
Bermaksud:
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

.

VIDEO; Jangan takut bersendirian

.

Berikut ialah langkah-langkah praktikal yang boleh kita lakukan untuk memulihkan diri:

▶️ Terima dan akui perasaan kita:
Jangan menafikan rasa sedih, marah, atau kecewa. Beri masa untuk diri sendiri bersedih sebelum memaksa diri untuk melupakan semuanya.

▶️ Berhenti menyalahkan diri sendiri:
Pengkhianatan adalah pilihan dan tanggungjawab pelaku, bukan salah kita kerana mempercayai mereka.

▶️ Tetapkan batas yang jelas:
Hadkan atau putuskan sementara hubungan dan akses komunikasi (termasuk di media sosial) dengan pihak yang melukakan kita supaya emosi tidak terus terganggu. Pergilah beruzlah, menjauhkan diri seketika dari orang yang menyakiti kita, walaupun mereka adalah dari kalangan ahli keluarganya atau pasangan kita. Bagi ruang kepada diri sendiri untuk bersendirian.

▶️ Fokus semula pada penjagaan diri:
Kembalikan rutin harian yang menyihatkan seperti tidur yang cukup, bersenam, menulis jurnal, atau melakukan hobi yang anda gemari. Sayangi & cantikkan diri.

▶️ Cari sokongan yang selamat:
Luahkan perasaan kepada keluarga, guru yang mursyid, rakan yang benar-benar dipercayai, atau kaunselor profesional jika beban emosi terasa terlalu berat.

▶️ Serahkan urusan pembalasan kepada Allah swt:
Melepaskan dendam melalui doa dan keikhlasan bukan bermakna membenarkan perbuatan mereka, tetapi membebaskan hati kita daripada terus terikat dengan masa lalu. Biarkan Allah swt yang membalas semuanya.

Yakinlah!
Doa orang yang teraniaya tiada hijabnya.
Angkat tangan & berdoa!

Setiap kesedihan ada penghujungnya.

Kesulitan yang kita dilalui bukanlah pengakhiran, sebaliknya fasa sementara sebelum datangnya pertolongan dan ketenangan. Malahan menjadi lebih kuat & bahagia dengan cara sendiri. Tidak lagi mengharap kebahagiaan dari orang lain.

Pulihkan diri & bangkitlah!

Kita sebenarnya seorang yang kuat!

Kekuatan itu datangnya dari Allah swt yang sentiasa menyayangi kita & tak pernah tinggalkan kita!

Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Jumaat, 20.11.2026/9 Jamadil akhir 1448H

#penulis

#mentorusahawanumpsa

#usahawan

#adminadvisor

Leave a Reply