
Assalamualaikum warahmatullah
Sebelum anak saya belajar di Universiti Al Ahqaff, Yaman saya tercari-cari info mengenai universiti ini tetapi tak banyak info lengkap di internet. Kami telah dicadangkan oleh beberapa orang Habib agar menghantar anak ke sini setelah melihat keupayaan anak yang mampu belajar akademik sekaligus mengahafal Al Quran semasa di sekolah menengah. Beliau tamat sekolah menengah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Kuantan, Pahang berbekalkan sijil SPM (aliran akaun beserta matapelajaran Teras, Ekonomi, Syariah Islamiyah, Pendidikan Al Quran & Sunnah dan juga Bahasa Arab). Alhamdulillah beliau juga sempat khatam hafazan 30jq Al Quran semasa di tingkatan 5.
Nasihat para habib & orang soleh yang kami jumpa, dunia memerlukan ilmuan Islam yang mahir dalam ilmu agama sekaligus bijak dalam bidang duniawi contohnya mahir berbahasa Inggeris selain Bahasa Arab, mahir menggunakan komputer, kemahiran IT dan multimedia demi berdakwah di zaman yang semakin canggih. Antara yang menasihati kami ialah Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Benarlah seperti kata Saidina Umar Al-Khatab “Didiklah anakmu mengikut zamannya, kerana zamannya adalah berbeza sekali dengan zaman ibu bapanya”.
Oleh kerana kurangnya info mengenai universiti ini berkenaan cara masuk, sistem pembelajaran dan sebagainya, maka saya mengambil inisiatif menulis di blog ini agar lebih ramai orang Malaysia mengetahui perihal universiti yang berprestij tinggi dari segi ilmu akhirat & duniawi.
Antara agamawan terkenal yang graduate dari universiti ini adalah Yahya Zainul Ma’arif, Lc., M.A., Ph.D. atau lebih dikenali umum sebagai Buya Yahya. Ramai pelajar Indonesia datang belajar ke universiti ini berbanding dari negara lain. Antara pelajar dari negara selain Indonesia & Malaysia ialah dari Saudi, Tahiland, Tanzania dan lain-lain.

Manakala rakyat Malaysia yang terawal (sekitar sebelum tahun 2020) menerima ijazah dari universiti ini ialah:
1. Ustaz Syed Razak Ben Yahya dari Pahang (meninggal dunia pada 19.11.2016 di Kuantan, Pahang)
2. Ustaz Syed Alwi bin Muhammad Al Attas dari Kuching, Sarawak
3. Ustaz Iqbal Hanif dari Pahang

Universiti Al-Ahgaff/Jamiah Al Ahgof terletak di Aidid, Kota Tarim. Ia ditubuhkan oleh Habib Mahfuz Al Haddad yang berpusat di Mukalla & cawangan di Tarim sekitar tahun 1995/1996. Bagi pelajar lelaki yang mengambil jurusan Syariah dan Qanun, mereka akan belajar di Mukalla, Yaman (Markas & tahun pertama) & di Tarim, Hadraulmawt (bagi tahun seterusnya). Bagi pelajar perempuan, mereka akan kekal belajar di Mukalla sehingga tamat pengajian. Universiti ini menawarkan kursus dalam bidang seperti berikut yang mengambil masa selama 5 tahun:
1. Faculty of Sharia & Law
2. Faculty of Computer Science & Engineering
3. Faculty of Administration & Economics
4. Faculty of Girls
5. Faculty of Arts & Humanities
6. Faculty of Graduate Studies
Universiti ini dikelolakan oleh Habib Abdullah Baharun, Rektor Universiti Al Ahqaff. Universiti ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Yaman pada 8 Februari 1994. Dan pada tahun 1995 universiti Al-Ahgaff telah menjadi anggota Persatuan Universiti Arab dan juga anggota Persatuan Universiti-universiti Islam.


BAGAIMANA CARA MASUK KE UNIVERSITI INI?
Pelajar Malaysia perlu mendaftar melalui Yayasan Al Ahqaff di Kota Cirebon, Jawa Barat, Indonesia ataupun melalui Madrasah Al Khairat di Kuching, Sarawak (kepunyaan Habib Muhammad bin Alwi Al Attas).

Ada pelajar yang belajar di Yayasan Al Ahqaff Indonesia selama beberapa tahun & membuat persediaan awal sebelum memasuki Universiti Al Ahqaff. Manakala, bagi pelajar Malaysia yang telah mempunyai sijil SPM/STAM atau telah belajar di mana-mana pusat tahfiz atau pusat pengajian lain boleh masuk ke Madrasah Al Khairat di Kuching, Sarawak. Anak saya masuk ke Madrasah Al Khairat setelah tamat tingkatan 5 di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Pelajar perlu menduduki peperiksaan SPM, STAM & lulus Imtihan Qabul yang dikelolakan oleh Yayasan Al Ahqaff Indonesia. Di Madarasah Al Khairat, mereka akan dipersiapkan dengan kelas persediaan Al Ahqaff yang mana penggunaan/kemahiran bahasa arab sangat ditekankan. Sekiranya pelajar gagal Imtihan Qabul, mereka dikehendaki masuk ke MARKAS selama 1 tahun di Universiti Al Ahqaff Mukalla, Yaman sebelum memulakan semester pertama. Hal ini menyebabkan pelajar terpaksa belajar selama 6 tahun.
Setelah keputusan peperiksaan STAM diperolehi, mereka hendaklah meneruskan pembelajaran di kelas persediaan Al Ahqaff yang disediakan oleh pihak madrasah. Dengan cara ini, pelajar akan lebih bersedia untuk melangkah ke semester pertama di Al Ahqaff, Mukalla, Yaman.
Apabila masuk ke tahun ke 2, yakni semester ke 3 & seterusnya, pelajar yang mengambil jurusan Syariah & Qanun akan berpindah ke Universiti Al Ahqaff yang terletak di Tarim, Hadraulmawt Yaman, lebih kurang 300km dari Bandar Mukalla. Asbab kota Tarim merupakan pusat pengajian agama yang utama, maka pihak pentadbiran memindahkan pengajian dalam bidang Syariah dan Qanun ke Tarim.

BAGAIMANA SISTEM PEMBELAJARANNYA?
Sistem pembelajaran agak berbeza dengan universiti lain terutamanya universiti di Malaysia. Jadual belajar sangat padat & mereka TIDAK menyediakan “study week” atau cuti semester yang panjang. Cuti semester hanya sekitar 3 minggu ke sebulan sahaja. Pelajar perlu menduduki ujian lebih kurang 2 minggu sekali & perlu lulus atau mempunyai markah & kehadiran ke kelas (jumlah jam) yang mencukupi untuk menduduki peperiksaan akhir semester. Jika tidak, mereka tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir semester.
Peperiksaan/ujian dijalankan pada waktu pagi sebelum kelas bermula. Bermakna, pada waktu ujian, kelas berjalan seperti biasa. Contohnya, jika kelas bermula pada jam 8.30 pagi, maka ujian akan diadakan pada jam 6.30 pagi. Seusai habis ujian, kelas akan berjalan seperti biasa.
Manakala, kelas tasmik Al Quran diadakan pada waktu malam. Pelajar hendaklah menghantar hafazan Al Quran pada waktu tersebut.

Lebih mencabar lagi, pelajar perlu lulus peperiksaan di akhir semester untuk mengelakkan mereka mengulang semester. Berbeza dengan universiti lain yang hanya mengulang subjek yang gagal & masih boleh proceed ke semester yang seterusnya. Bagi pelajar Al Ahqaff yang terkandas di mana-mana semester, mereka perlu menunggu setahun atau dalam tempoh tertentu untuk masuk semula (re-start) ke semester yang gagal tersebut. Di saat inilah, ada pelajar yang memilih untuk pulang ke kampung halaman & tidak meneruskan pengajian.
Namun, ada juga kelonggaran bagi pelajar yang baru pertama kali gagal beberapa subjek untuk mengulang exam subjek tersebut sahaja.
Result Pointer (CGPA) di Universiti Al Ahqaff adalah 5, bukan 4 seperti di universiti lain. Semua pelajaran adalah di dalam bahasa arab bagi fakulti pengajian Islam & menggunakan kitab yang tebal serta berjilid-jilid.

YURAN PENGAJIAN
Pada tahun 2023, yuran untuk permulaan kemasukan ialah sebanyak USD3K (untuk 5 tahun) bagi yang direct masuk kuliah manakala yang masuk ke markas terlebih dahulu dikenakan bayaran sebanyak USD4k (untuk 6 tahun) tidak termasuk flight ticket. Namun, bagi tahun ke 2 pelajar akan dikenakan yuran penginapan & perlu memperbaharui visa belajar. Makanan di sediakan oleh pihak universiti & fasiliti lain seperti bilik tidur berhawa dingin/heater, masjid, tempat memasak dan lain-lain adalah selesa.
Pelajar adalah dalam kawalan pihak universiti. Oleh itu, mereka tidak bebas untuk keluar masuk atau bercuti sesuka hati. Jika ingin pulang ke tanah air pada waktu cuti semester, ibu bapa perlu membuat surat permohonan kepada pihak universiti.
ADA MQA ATAU TIDAK?
Ramai rakyat Malaysia yang bertanyakan soalan ini terutamanya yang berhasrat menjadi penjawat awam. Setakat hari saya menulis ini, kami telah dimaklumkan oleh pihak MQA bahawa pelajar yang telah lulus dari Universiti Al Ahqaff boleh menyerahkan sijil mereka kepada pihak MQA untuk pengesahan & kelulusan. Tiada masalah untuk menyambung pelajaran di Malaysia (contohnya menyambung ke peringakt Master/PHD) atau memohon pekerjaan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa orang pemegang ijazah dari Universiti Al Ahqaff telah pun menamatkan pengajian peringkat Master di Universiti Malaya & Uitm Sarawak. Antaranya ialah Ustaz Syed Alawi bin Muhammad Al Attas (UM) & Ustazah Nurul Husna binti Azhar (Uitm).
Setakat tahun 2025, info & data dari Habib Muhammad bin Alwi Al Attas, seramai 19 orang pelajar Malaysia telah lulus peringkat ijazah dari universiti ini. Ada yang pulang ke Malaysia berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Madrasah Al Khairat, bekerja di Majlis Ugama Islam Sarawak & menyambung pelajaran ke universiti tempatan.

Begitulah serba sedikit info mengenai universiti yang telah melahirkan ramai agamawan Islam di nusantara namun belum terkenal di kalangan rakyat Malaysia.
Buat masa ini, anak saya berada di semester 4 & masih perlu meneruskan lagi 6 semester dalam bidang Syariah & Qanun. Perjalanan yang masih sangat panjang & mencabar. Dengan rendah hati, saya mohon para pembaca & subscriber blog ini mendoakan kejayaan buat anak saya, Syed Nuh Al Khered & rakan-rakan seperjuangan agar mereka semua lulus dengan cemerlang. Mudah-mudahan mereka semua menjadi pembimbing ummah yang berjaya di masa akan datang.

Dibawah ini adalah link youtube berkenaan universiti ini:
https://youtu.be/lVDAEHJyQVM?si=t-m69TQc19JL4CWD
Fi khairin wa lutfin wa’afiah.
Love as always
💝Al Faqirah Zan Aizan💝
(Khamis, 6 Syaaban 1446H)
Sumber rujukan:
1. Kitab Tarim & sekitarnya, Irfan Nazhan Mohd Nasri.
2. Perjumpaan/kunjungan ke Madrasah Al Khairat, Kuching Sarawak.
3. Perjumpaan/kunjungan ke kediaman Habib Abdullah Baharun di Mukalla pada Oktober 2023
4. Ziarah ke Universiti Al Ahqaff, Mukalla pada 16.10.2023.
#penulisEbook/buku fizikal
#pencatatNotaKuliahAsatizah
#DutaAsiaEbookMSGA
#CertifiedAdvisorEbookMSGA
#SeniorAdvisorEbookMSGA
bagi keluarga yang kurang berkemampuan, universiti Al-Ahgaff ada tawarkan pembiayaan biasiswa tak kepada pelajar (Malaysia)? saya nak belajar di sana, tapi tak mampu😅
LikeLike
Pelajar kena byr yuran pendafataran, makan & tempat tinggal. Yuran pengajian tak perlu byr. Tapi berbelas ribu la jugak. Sy tak pasti sama ada blh mohon loan/biasiswa dr yayasan/majlis ugama d tempat/negeri kamu.
LikeLike
maaf nak tanya.. di universiti Al-Ahgaff, boleh saya tahu tak jadual kelas (sistem kuliah) diorang mcm mana?.. start/habis kelas pukul berapa? biasanya, ada tak pelajar dari Al-Ahgaff yang pergi talaqqi kitab² dekat Darul Musthofa ataupun ke Rubath Tarim bila ada masa free? terima kasih..
LikeLike
1. Waktu bljr pg-ptg atau klu dah sem 4 ke atas kelas dr tgh-ptg. Mlm ada tasmik/hafazan Al Quran
2. Talaqi hy waktu cuti sem sebulan/2 bulan atau slps tamat pengajian, bcoz jadual padat. Tp kena ikut time kluar msk ah gaff. Tak blh kluar ikut suka.
LikeLike
saya harap Puan tolong buat versi Part 2 untuk bagi penjelasan yang lebih terperinci mengenai sistem pengajian dan kemasukan ke sana😅.. sebab saya tengok ramai yang share tentang institusi pengajian di Tarim, Hadramaut.. kebanyakan mereka dari Indonesia.. jarang blogger atau Youtuber dari Malaysia yang share tentang institusi di Tarim.. kemungkinan ia menjadi kekurangan sumber buat pelajar dari Malaysia yang berminat untuk sambung belajar di sana.
LikeLike
biasanya, cuti semester pelajar di universiti Al-Ahgaff berapa lama?
LikeLike
2 bulan
LikeLike
kalau majlis konvokesyen pelajar, ibu-bapa kena pergi ke Yaman ker?
LikeLike
Ya…tapi majlis hy utk lelaki
LikeLike