Assalamualaikum warrahmatullah
Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ke 25 usia perkahwinan & dikurniakan 4 orang cahaya mata (3 lelaki & 1 perempuan. Masing-masing berusia 24 tahun (lelaki), 21 tahun (perempuan), 18 tahun (lelaki) & 14 tahun (lelaki). Selain itu, saya juga membesarkan 2 orang anak saudara yang kini telah berusia 26 tahun (perempuan dah berkahwin) & 17 tahun (lelaki).
Tahun ini saya bersyukur kerana anak lelaki ke 3 yang berusia 18 tahun berada di rumah pada bulan Ramadan. Sejak anak-anak mulai bersekolah menengah, mereka jarang berada di rumah pada bulan Ramadan. Mereka bersekolah tahfiz. Apatah lagi setelah mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka melangkah lebih jauh dari keluarga.
.
.
.
.

.
.
Sebenarnya semua anak saya boleh memasak & melakukan kerja rumah. Mereka telah dididik dari kecil. Di madrasah juga mereka dibiasakan untuk memasak secara berjadual. Tahun ini, anak ke 3 diberi tugasan untuk menyediakan juadah sahur di rumah. Setelah 25 tahun melayari bahtera rumah tangga, akhirnya saya menikmati saat bangun sahur dimana juadah sahur telah tersedia hehehe. Walhal, selama ini sayalah yang menyediakan segala-galanya. Sama seperti isteri/ibu yang lain seantero dunia.
.
.

.
.
Sepanjang Ramadan 1447H, saya membaca banyak posting berkenaan kepenatan isteri/ibu muda (Gen Z) di bulan Ramadan yang terpaksa bangun awal untuk menyediakan juadah sahur, mengejutkan suami & anak-anak, menjalankan rutin harian biasa di siang hari, ibadah & pada sebelah petangnya menyediakan juadah berbuka puasa pula. Ada yang kepenatan sehingga tidak mampu menunaikan solat terawih. Ditambah pula, sekiranya ada anak kecil yang perlu diuruskan tatkala suami keluar bekerja atau ke masjid.
Begitulah antara keluhan-keluhan yang dapat kita baca di media sosial.
.
.
.
.
Sebenarnya keadaan ini bukan baharu berlaku. Sefahaman saya, ini memang telah menjadi adat turun temurun ORANG MELAYU yang selalu meletakkan tugasan rumah tangga 100 peratus di bahu isteri. Walaupun dalam Islam tugas utama isteri adalah meliputi ketaatan kepada suami dalam kebaikan, menjaga kehormatan diri, menjaga harta dan rumah tangga suami, serta mendidik anak-anak. Tetapi, disebabkan cara hidup, cara didikan & persekitaran telah membuatkan seorang isteri itu rasa semua adalah tanggungjawabnya.
Hal ini boleh diubah tanpa perlu perdebatan tentang tanggungjawab sebenar suami atau isteri. Selepas berkahwin, pandai-pandailah menyusun hidup & menguruskan masa.
Jika di awal kawin, boleh dibincangkan tentang urusan rumah tangga, maka berbincanglah. Buat garis panduan tentang apa tugas-tugas boleh dibahagi atau diagih-agihkan. Terutamnaya jika isteri juga bekerja. Contohnya:
1. Jika isteri dah basuh/sidai baju, suami boleh tolong angkat & lipat atau gosok atau gantungkan/masukkan ke dalam almari.
2. Jika isteri dah memasak, suami boleh tolong kemaskan meja atau mencuci pinggan.
3. Jika isteri uruskan anak-anak kecil, suami boleh tolong sapu sampah, mop lantai & sebagainya.
4. Suami juga boleh tolong belikan barang dapur atau singgah ke pasar sambil balik dari kerja.
5. Ataupun suami isteri sama-sama ke pasar di hujing minggu & membeli stok makanan untuk seminggu.
Tetapi….itu semua atas budi bicara & perbincangan. Saya faham, bukan semua suami boleh dibawa bincang atau faham akan tugasan menguruskan rumah tangga. Ada suami yang memang tak tahu & perlu diberitahu satu persatu tentang apa yang perlu dibantu di rumah.
Tidak nafikan, suami saya juga bukan seorang yang mampu melakukan kerja-kerja rumah atau memasak. Malahan beliau sangat kekok apabila berada di dapur. Tetapi, saya tak kisah kerana beliau seorang yang rajin bekerja & berusaha mencari rezeki untuk keluarga, menyediakan segala keperluan, membiayai pendidikan anak-anak di sekolah yang baik, menguruskan keperluan anak-anak sewaktu anak kecil, menghantar/ambil anak ke sekolah & menggembirakan keluarga dengan membawa kami travel, umrah & haji, malahan sering bawa kereta saya untuk dibasuh, servis & sebagainya. So…nikmat yang mana lagi yang nak saya dustakan?
.
.

.
.
Dari sudut yang lain, saya melihat family background suami, yang mana ibu mentua saya seorang yang merasakan dirinya wanita yang perlu menyiapkan segala keperluan keluarga. (Bukan berniat memburukkan, kita berlapang dada dengan cara didikan masing2). Sejak beliau tinggal bersama kami, saya melihat “childhood trauma”, dimana beliau sangat resah apabila ada pinggan kotor dalam sink. Beliau selalu cakap arwah ayahnya akan memarahi beliau & adik beradik perempuan jika tidak membersihkan dapur selepas makan. Begitu juga dengan urusan lain seperti mencuci pakaian. Mungkin atas faktor itu, saya dapati suami saya tidak mempedulikan hal-hal kerja dapur kerana beliau telah terdidik begitu sejak kecil (adik beradik suami semuanya lelaki).
Ibu mentua juga tidak suka dibantu ketika beliau memasak. (Saya tak kisah bab ni sebab rasa sebahagian besar wanita juga suka memasak dengan cara sendiri). Tetapi, saya TIDAK sependapat dengan arwah mak mentua (Bukan bergaduh. Hubungan kami baik sepanjang tinggal bersama). Saya akan halang beliau membasuh pinggan & mencuci pakaian dengan mengatakan “Anak-anak lelaki saya akan buatkan”. Lama kelamaan, ibu mentua saya faham & boleh terima keadaan itu.
.
.

.
.
Saya telah berusaha melatih anak membantu saya melakukan kerja rumah sejak anak sulung berusia 5 tahun. Apabila anak berusia 5-6 tahun, saya buat jadual untuk anak-anak. Paling utama ialah; jangan SURUH tetapi AJAK anak buat kerja rumah sama-sama. Saya sering katakan kepada anak-anak “Rumah ini rumah kita bersama, bukan rumah ummi seorang. So kita kena jaga kebersihan bersama-sama”.
Sikap tegas saya kadang-kadang buat anak menangis. Saya pernah membuang barang-barang anak yang bersepah, saya denda anak duduk di luar rumah beberapa jam & tak boleh makan jika tugasan yang diberi tak beres. Malahan, saya pernah membakar baju anak ke 2 kerana dia tidak membantu abangnya.
Begitu juga dengan rotan. Saya sediakan rotan di dapur, ruang tamu, bilik tidur & dalam kereta. Supaya senang dicapai bila anak bergaduh atau menyepahkan rumah/bilik. Semua anak cakap saya ibu yang garang.
Namun, ketika anak menginjak remaja, mereka tidak lagi dididik dengan keras. Mereka telah menjadi kawan saya. Kami pernah duduk bersama-sama & mengimbas segala apa yang berlaku sejak kecil. Segala denda & kemarahan saya untuk membentuk mereka menjadi seperti hari ini. Mereka ucapkan terima kasih & berharap agar saya akan mendidik anak-anak mereka pula nanti 🙄🙄🙄.
Apa yang nak saya sampaikan di sini ialah, IBU ADALAH MADRASAH PERTAMA ANAK-ANAK. Sepertimana yang telah saya nukilkan dalam buku saya “11 Tip Memadrasahkan Rumah”. Namun dalam buku tersebut, ia lebih kepada cara mendidik anak menunaikan solat, mencintai Al Quran, menghafal Al Quran & berpuasa sejak kecil.
.
.

.
.
My point is, MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA.
Sebagai isteri, kita takkan mampu mengubah suami jika suami tak berkehendak untuk mengubah dirinya. Kita akan jadi bertambah stress jika suami tak nak buat atau buat kerja dengan cara yang tak menepati cita rasa kita. Ada isteri yang cerewet; suami lipat baju tak ikut cara isteri, dia marah. Suami tak susun pinggan/cawan di tempat yang betul pun isteri marah. So…sebenarnya siapa yang salah? Bukan semua suami tak nak tolong tetapi sikap isteri itu sendiri yang membuatkan seorang suami rasa serba tak kena. Ini realiti yang ramai para isteri tak boleh terima.
Satu perkara lagi, suami dididik oleh ibunya sejak kecil hingga ke usia 20an-30an. Jangan berharap dalam tempoh 10-15 tahun perkahwinan kita dapat membentuk seorang suami hidup mengikut cara yang kita nak. Kita sendiri pun tak suka suami memaksa kita mengubah cara didikan yang kita terima dari ibu bapa kita. So…apa yang mampu seorang isteri lakukan ialah dengan bersabar, bersabar & bersabar serta berdoa yang baik-baik terhadap suami & didiklah anak-anak mengikut cara kita. Perbanyakkan zikir “Ya Latif” atau membaca ayat 19 dari surah Asy-Syura, agar hati kita, suami & anak sentiasa lembut.
.
.

.
.

.
.
Menguruskan rumah tangga memang penat. Tetapi semua hal dalam rumah tangga adalah susunatur kita sendiri. Oleh itu, pandai-pandailah mengurus masa. Jangan terlalu stress untuk memperlihatkan rumah kita perfect. Sebagai isteri, perlu ada ilmu rumah tangga & bijak mengatur masa. Jangan banyak mengeluh, sebaliknya banyak berzikir.
.
.

.
.
Antara hal-hal yang perlu isteri fahami ialah:
1. It’s ok jika pinggan dibiarkan seketika, dibasuh selepas selesai solat terawih. Ajak anak-anak tolong.
2. It’s ok jika masak hanya 1 lauk utama & disampingkan dengan ulam & sambal waktu berbuka supaya tak penat nak sediakan pelbagai juadah.
3. It’s ok untuk masak lebih pada waktu berbuka & panaskan sahaja lauk yang sama pada waktu sahur.
4. It’s ok jika baju di basuh hanya 2-3 kali seminggu, bukan setiap hari.
5. It’s ok jika rumah hanya di mop seminggu sekali asalkan lantai tak terlalu kotor atau melekit-lekit.
6. It’s ok kalau anak-anak kecil tolong lipat kain tapi tak secantik/kemas. At least anak-anak dah tolong.
7. It’s ok untuk kamu tidur awal & bangun di sepertiga malam untuk melakukan solat terawih & qiam.
It’s ok hidup santai-santai….jangan terlalu fokus kepada kerja rumah semata-mata. Ada banyak hal lain yang perlu kita timbangkan dalam membentuk rumah tangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.
.
.

.
.
Antara tip-tip lain yang boleh isteri lakukan ialah:
1. Labelkan almari/rak atau tempat simpan barang supaya suami & anak senang nak ambil barang. Jika tidak, mereka akan bergantung kepada isteri/ibu untuk mencari barang keperluan.
2. Siapkan pes masakan untuk seminggu & frozenkan. Kalau malas, beli sahaja. So tak perlu nak kupas/blend/tumis bawang & segala awas masakan setiap kali nak masak.
3. Bersihkan ayam/ikan/daging di hujung minggu & pack secukupnya untuk 1 jenis masakan. So bila nak masak, keluarkan awal dari freezer.
.

.
4. Ubah trend memasak. Cuba masak di awal pagi untuk lunch & dinner supaya selepas tu x perlu masuk dapur beberapa kali sehari. Makanan di panaskan bila nak makan. Masa anak kecil2, saya masak sebelum subuh.
5. Ajar anak2 makan 1 main menu sahaja yang mengandungi zat yang cukup. Contohnya sup ayam yang dicampur dengan sayur. Atau gulai ikan berulamkan sayur. So, tak penat nak masak pelbagai lauk.
6. Didik anak makan apa yang ibu masak. Bukan ikut menu setiap anak. Anda akan sangat penat jika menjadi “ibu yang bertuankan anak”.
7. Didik anak uruskan pakaian sendiri by the age of 7-8 tahun termasuk pakaian sekolah.
.
.

.
.
Dan ada macam-macam cara lagi yang ibu kena belajar didik anak. Bacalah buku ilmiah tentang ilmu rumah tangga atau hadir ke majlis ilmu.
Boleh juga baca post saya di Fb link ni:
https://www.facebook.com/share/1Agt14npKV/?mibextid=wwXIfr
Kita perlu faham, hidup berumah tangga itu adalah saling melengkapi bukannya tentang siapa yang paling perfect. Jangan juga rasa, hanya isteri yang kena buat itu ini sedangkan suami goyang kaki di rumah. Berbincang baik-baik & bersyukur dulu kerana ada suami yang baik. Yang memberi nafkah, yang tak memukul atau yang tak curang. Ada ramai lagi wanita yang bernasib malang di luar sana.
Fahami: masing-masing ada ego yang perlu diturunkan.
Wahai isteri, lebihkan membaca Al Quran, berselawat & berzikir agar kita mampu mengawal emosi. Bukan senang nak tenang. Lebihkan kebergantungan kepada Allah swt dalam menguruskan hidup. Jangan rasa bahawa, kitalah yang terpaling bagus menguruskan rumah tangga.
Jika penat, bagitahu suami & rehat. Tak perlu bermasam muka atau merajuk tanpa suami faham apa masalah sebenar.
Berlapang dada. Allah swt meletakkan seorang wanita sebagai seorang isteri/ibu ditempat yang sesuai dengan kemampuannya.
Sampai di sini sahaja bebelan saya untuk entri kali ini. Mohon maaf jika ada yang tak bersetuju dengan penyampaian saya. Saya bukan ibu yang sempurna, tetapi sentiasa set in mind; mendidik diri & anak-anak adalah seumur hidup.
Segala yang terbaik hanya dari Allah swt.
Sharing ini hanyalah sekadar untuk membimbing isteri/ibu muda yang lately mudah mengalah dengan kehidupan rumah tangga & akhirnya mengakibatkan perceraian. Bukan kerana rumah tangga saya terbaik atau tiada dugaan. Tetapi, kita perlu belajar sabar, sabar & sabar.
Fi khairin wa lutfin wa’afiah.
Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Khamis, 26.2.26/8 Ramadan 1447H