Assalamualaikum warahmatullah…
“Umi, kaki umi dah bersih. Dah takde keluping. Kalau tak…hari-hari Zan sapu losyen untuk hilangkan keluping.” Ujarku perlahan sambil mengusap betis kecil jenazah umi sebelum dikafankan.
“Ummi, hari ni hari last Zan pakaikan baju kat umi.” Bisikku tatkala mengemaskan kain kafan di tubuh umi.
Begitulah bicara terakhirku bersama umi, (Almarhumah Sharifah Nadzrah binti Syed Ahmad Al Hindwan) mak mentua tersayang yang aku tatang selama setahun 4 bulan 2 hari, menyantuninya seperti ibu sendiri. Kembali ke rahmatullah pada 3.12.2025 akibat komplikasi buah pinggang, jantung, darah tinggi & diabetes.
Air mata masih tak berhenti mengalir, hinggalah saat umi di bawa ke liang lahat. Ramai orang memelukku. Sama2 menitiskan air mata. Saudara-mara ucapkan terima kasih kepadaku kerana menjaga umi, walhal aku tidak cukup baik semasa berkhidmat untuk umi. Aku bukan penjaga yang sempurna. Mungkin lebih banyak dosaku terhadap umi yang aku tak ketahui. Moga Allah swt ampunkanku.

Sesungguhnya…ia adalah proses yang normal untuk kita melepaskan orang yang kita sayang kembali kepada Penciptanya. Tambahan pula, orang yang kita spend masa setiap hari selama bertahun-tahun. Sesedih mana pun, kita perlu redho untuk melepaskan mereka. Semua yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman. Semuanya milik Allah swt. Satu hari nanti, kita jua akan kembali kepada Nya.
Kepada penjaga pesakit, saya menulis di sini sebagai peringatan & pelajaran agar kalian santuni pesakit dengan baik. Perhatikan setiap perubahan dari hari ke hari. Apabila sampai masanya, akan keluar tanda-tanda kematian yang dikatakan bermula dari 100 hari terakhir. Boleh rujuk pelbagai kitab untuk tahu tanda-tanda yang lebih details. Saya bukanlah ahlinya untuk mengulas lanjut. Saya sekadar berkongsi sedikit pengalaman sebagai diri yang fakir ilmu.
Setelah menjaga umi lebih dari setahun, saya mulai merasai setiap perubahan almarhumah umi dari hari ke sehari & dapat rasakan yang beliau semakin hampir dengan kematian. Dari segi tingkahlaku, percakapan, pemakanan & pola tidur serta pola kencingnya. Sebulan terakhir, semuanya membuatkan saya semakin sayang & rasa tak sanggup nak meninggalkan beliau walaupun untuk ke tempat kerja atau hal-hal lain.
Sebenarnya, saya juga pernah menghadap arwah datuk, nenek, ibu saudara kepada suami saya & nenek kepada suami saya saat mereka sakarat. Oleh itu, saya belajar dari ciri-ciri yang mereka tunjukkan di saat malaikat maut datang bertandang. Ia sangat menginsafkan, melihat bibir kekeringan & pesakit dalam keadaan yang sangat dahaga. Moga Allah swt ampun dosa-dosa kita semua & mati dalam keadaan husnul khotimah.
Boleh baca sharing saya menghadap saat sakarat ibu saudara keoada suami saya pada tahun 2022;
Wanita Dambaan Syurga
Sejak mengenalpasti pelbagai perubahan pada diri umi:
1. saya mulai memasang bacaan Al Quran berhampiran tempat tidurnya (kerana umi kurang pendengaran) yang mana, sebelum ini saya pasang di ruangan lain dalam rumah.
2. Saya juga melayan setiap kehendaknya tanpa banyak bicara. Seboleh-bolehnya tidak mahu adanya rasa terkilan di kemudian hari.
3. Membaca selawat & zikir kepada makanan/minumannya agar mengalir ayat2 ruqyah yang mampu mengurangkan kesakitan kepada tubuh badannya.
4. Sentiasa solat hajat agar Allah swt mudahkan saat sakaratnya & ampunkan dosa2nya.
5. Sentiasa solat taubat & memohon kepada Allah swt ampunkan dosa2 yang tidak saya sengajakan semasa masa menguruskan umi & agar saya dikurniakan kekuatan & kesabaran dalam menyantuni umi.
Dengan izin Allah swt, 2 hari sebelum pemergian umi, saya telah bermimpi didatangi ibu kandung umi (dikenali sebagai almarhumah Tok Neng). Dalam mimpi tersebut, beliau menjemput saya ke rumah untuk makan2 bersama ramai ahli keluarga yang lain, kecuali umi. Beliau menyatakan kegembiraan beliau kerana saya menjaga umi & katanya selepas ini, saya tak perlu lagi bersusah-payah menjaga umi. Beliau akan mengambil alih tugas tersebut. 😔😔😔
Subhanallah….mungkin ia sekadar mimpi yang tidak membawa sebarang maksud. Tetapi menurut guru-guru saya yang mursyid, mimpi yang baik itu adalah bisyarah dari Allah swt. Maka teruslah kita bersangka baik kepada Allah swt tanpa bersandarkan kepada mimpi. Saya bukan orang alim seperti para salaf saleh yang boleh menganggap mimpi adalah mesej dari Allah swt. Saya hanya seorang manusia biasa yang iman lebih nipis dari kulit bawang.
Pada hari terakhir umi, disaat kaki umi mulai sejuk, saya memakaikan stoking & menyelimuti umi. Umi kemudiannya meminta sehelai lagi selimut kerana berasa semakin sejuk. Saya mulai membacakan Yaasin 1000 Syifa’, surah Al Mulk & Ratib Al Attas sambil mengusap2 tubuh umi. Sesekali, umi membuka mata & kemudian memejamkanya semula. Beberapa bahagian anggota tubuh mulai bergerak-gerak sendiri. Dari guru mursyid saya, Ustaz Hj Hod A Rahman telah mengijazahkan saya supaya membaca Yaasiin 1000 Syifa’ jika melihat pesakit sudah lama menderita sakit. Namun kita perlu redho dengan apa yang bakal Allah swt persembahkan selepas itu. Sama ada pesakit semakin sihat atau bertemu dengan Ilahi dalam keadaan yang lebih mudah. Yasiin 1000 syifa’ ini juga adalah ajaran dari Al Habib Alwi Al Maliki (Mekah).
Saya menghubungi keluarga & memaklumkan keadaan umi tatkala nafas umi mulai berbunyi kuat & seolah-olah nyawa berada di dadanya.

Didalam kitab DI BALIK TABIR KEMATIAN ada menceritakan perihal mimpi yang benar & ciri-ciri orang yang mendapat mimpi yang baik selain dari Rasulullah ﷺ.
Boleh rujuk pada keratan-keratan buku yang saya lampirkan di sini: 👇🏻👇🏻👇🏻


Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, jika anda adalah penjaga pesakit yang setiap hari menguruskan pesakit, nescaya anda akan menyaksikan perubahan demi perubahan terhadap pesakit yang semakin uzur. Antaranya:
- Perubahan warna kulit – kulit kelihatan tidak sihat
- Suhu badan menurun
- Malas melakukan aktiviti sosial – mereka tidak lagi bersemangat untuk berbual-bual, keluar makan, berjumpa orang, menonton tv & sebagainya.
- Banyak tidur
- Selera makan berkurangan (kadangkala pesakit akan makan extra beberapa hari terakhir setelah lama tak makan).
- Sakit di beberapa titik – Kemunculan kesakitan di beberapa titik pada badan atau kemunculan luka/kudis dekubitus.
- Kesukaran bernafas, termasuk tanda-tanda kematian yang paling biasa
- Berhalusinasi – Halusinasi boleh termasuk melihat diri sendiri dijemput oleh malaikat, dijemput oleh orang tersayang yang telah meninggal dunia, banyak haiwan liar menghampiri dan banyak lagi.
- Kegelisahan
- Pola kencing berubah
Oleh yang demikian, sebagai penjaga pesakit, anda perlu mencari ilmu menenangkan/menghadapi saat-saat kematian pesakit. Apabila anda mempunyai ilmu, anda akan tahu apa yang perlu dilakukan ketika pesakit sedang sakarat, terutamanya jika anda bersendirian.
Saya melalui saat sakarat arwah umi bersendirian sebelum kedatangan ahli keluarga & sahabat handai.
Didalam kitab DI BALIK TABIR KEMATIAN ada pelbagai ilmu tentang saat-saat kematian yang boleh kita pelajari. Bacalah atau hadirlah mana-mana kuliah yang membicarakan tentang kitab ini.

Keadaan yang disukai pada orang yang menjelang ajal ialah ketenteraman & ketenangan. Dari lidahnya terucap dua kalimat syahadat & dari hatinya adalah dia bersangka baik dengan Allah swt. Sebab itu ahli keluarga digalakkan berada di sisi pesakit & membaca Al Quran.
Tentang bentuknya, maka Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Perhatikanlah tiga hal pada orang yang tengah sakaratul maut. Jika keningnya berkeringat, berair kedua matanya, dan kering kedua bibirnya, bererti rahmat Allah telah turun kepadanya. Tetapi jika ia kelihatan seperti orang yang tercekik, memerah warna kulitnya, dan pucat kedua bibirnya, maka itu adalah akibat azab Allah kepadanya.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)16 d
Dari Salman, tapi tidak shahih.
Tentang lidah yang lancar mengucapkan dua kalimat syahadat, itu adalah petanda yang baik. Abu Sa’id al-Khudri berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tuntunlah kepada orang-orang yang hendak mati dengan kalimat La ilaaha illallah.”
Disebutkan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Hudzaifah, “Sesungguhnya kalimat tersebut akan menghapus kesalahan-kesalahan sebelumnya.”
Usman berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa mati dalam keadaan yakin bahawa tidak ada tuhan selain Allah, nescaya ia masuk syurga.”
Usman mengatakan, “Apabila seseorang menjelang ajalnya, maka ajarlah ia membaca kalimat La ilahaa illallah. Sebab, setiap orang yang mengakhiri hidupnya dengan kalimat tersebut, itu akan menjadi bekalnya menuju syurga.”
Alhamdulillah..ketika umi sedang sakarat, setelah beberapa kali saya menuntunkan bacaan talqin & Allah…Allah…Akhirnya umi mengucapkan “Allah….” Sebanyak 2 kali sebelum berhenti memberikan respond kepada panggilan saya.
Dari kitab PERINGATAN TENTANG UMUR INSAN dinyatakan apabila si pesakit mengalami sakit kuat, dan telah ternyata tanda-tanda hampir ajalnya, hendaklah kaum keluarganya memperhatikan keadaannya, hendaklah mereka mengingatkan kebajikan & kebaktiannya pada masa dahulu. Ingatkan juga akan luasnya rahmat Allah & keampunanNya kepada orang yang berdosa & kemaafanNya terhadap orang yang cuai. Inilah amalan yang biasa dilakukan oleh para salaf saleh terhadap orang yang sedang naza’. Moga pesakit yang sedang naza’ itu akan merasa lega apabila mendengar ucapan-ucapan seumpama itu.

Setelah pesakit mengucapkan talqin dengan betul (La illahaa ilallah), tak perlu minta pesakit mengucapkannya lagi, melainkan jika dia berkata-kata sesuatu yang lain. Barulah diulang lagi.
Bacalah Surah Yaasiin untuk memudahkan roh keluar dari jasad. Mati itu ada kesusahan & sakarat. Kita juga digalakkan membaca Al Quran sebanyak yang mungkin.
Apa yang patut dibuat terhadap orang yang sedang naza’?
Adalah sunat memiringkan orang yang naza’ ke kanannnya menghadap kiblat. Apabila terputus sahaja nafasnya, hendaklah kedua belah matanya ditutupkan kerana pemandangannya akan menoleh ke arah mana nyawa itu pergi.
Kemudian, segerakanlah urusan pengkebumiannya.
Guru saya, Ustazah Sharifah Hafsah Bana Hasan sentiasa mengingatkan kami agar membaca surah Al Mulk sebanyak yang mungkin ketika urusan memandikan & mengkafankan jenazah. In shaa Allah, mudah2han segala urusan si mati saat pengkebumian & bersama malaikat munkar & nakir akan dipermudahkan.
Ketika memandikan & mengkafankan jenazah, usaplah tubuhnya buat kali terakhir. Sentuhlah kulitnya kerana selepas ini kita tidak lagi dapat mencium tangan & wajahnya. Berbicaralah dengan jenazah, mohon ampun & maaf atau bercakaplah seolah-olah jenazah masih ada bersama kita. Sesungguhnya, roh si mati masih melihat apa yang sedang dilakukan oleh anak cucu mereka. Itulah yang saya lakukan tatkala memakaikan baju terakhir umi.
Kemudian, kami sekeluarga bersegera membahagikan juzuk bacaan Al Quran untuk menghadiahkan khataman Al Quran kepada almarhumah umi. Anak cucu mengambil bahagian membaca sejak pagi hingga khatam sebelum maghrib pada hari tersebut. Mudah-mudahan segala doa dari anak cucu yang soleh/hah menenangkan umi pada hari pertama di alam barzakh.
Keesokan harinya, kami meminta pelajar tahfiz datang ke rumah & mengkhatamkan Al Quran sekali lagi.

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan mengenai tanda-tanda sakratul maut yang perlu kita ketahui. Supaya kita sentiasa alert dengan mengingati mati & menambah amal. Melainkan si mati, mati mengejut tanpa ada sebarang penyakit atau tidak terlantar sakit. Itu adalah keadaan yang berbeza dengan tujuan penulisan ini.
Setelah si mati dikebumikan, sentiasalah berusaha untuk membaca tahlil & menghadiahkan khataman Al Quran kepada si mati. Jika tak mampu melakukan secara bersendirian, lakukanlah secara berjemaah.
Cubalah untuk hadir ke majlis ilmu sekerap mungkin & berguru dengan guru yang mursyid agar hati kita tidak kosong. Segala ilmu telah diajarkan dalam Islam dari ilmu kelahiran hinggalah ke saat kematian & seterusnya ke hari kiamat. Tidak ketinggalan, tentang syurga & neraka. Maka, kenapa kita masih lalai dengan dunia?
Marilah sama-sama kita saling mengingati antara satu sama lain tentang kematian. Mati itu pasti.

Moga perkongsian ini menjadi manfaat kepada semua yang membaca.
Dah baca….jangan lupa like & subscribe blog ini.
Fi khairin wa lutfin wa’afiah
Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Sabtu, 20.12.2025/29 Jamadil Akhir 1447H








