Assalamualaikum warahmatullah
Ramai orang menganggap anxiety adalah penyakit baharu. Bila baca komen-komen nitizen di medsoc mengenai anxiety, ada yang anggap pesakit sekadar mengada-ngada, sedangkan pada zaman dahulu, tiada penyakit bernama anxiety. Tuduhan ini adalah berat bagi saya kerana anxiety bukanlah penyakit baharu & tidak boleh di buat-buat. Malahan, ada pesakit yang tidak tahu dia sebenarnya menghidap anxiety.

Begitulah perihal masyarakat kita yang masih kurang pendedahan mengenai penyakit mental. Mereka juga malas membaca, malas belajar & lebih cenderung menolak kewujudan pelbagai penyakit mental. Bagi saya yang menjaga mak yang menghidapi skizofrenia selama 30 tahun, saya mula mengenali perihal penyakit mental ketika berusia 23 tahun. Sebelum itu, tiada pendedahan yang luas di media massa mengenai penyakit mental. Apa yang orang awam faham hanyalah “ORANG GILA” apabila dikaitkan dengan masalah mental. Rata-rata hanya terbayangkan
“TANJUNG RAMBUTAN” sebagai tempat pengumpulan orang gila.
Begitulah rendahkan tahap pemikiran masyarakat kita terutamanya orang melayu. Paling menyedihkan, apabila suami/isteri/keluarga sendiri tiada pengetahuan & menuduh pesakit sebagai orang tak beriman.
Apa itu anxiety?
Anxiety ialah rasa cemas yang normal tetapi boleh menjadi gangguan mental apabila ia tidak dapat dikawal, berterusan untuk tempoh yang lama, dan mengganggu aktiviti harian. Ia melibatkan perasaan takut atau bimbang yang berlebihan, yang boleh menyebabkan simptom fizikal seperti jantung berdebar dan sesak nafas, serta menjejaskan kualiti hidup seseorang. Apabila ia menjadi masalah yang serius, ia disebut sebagai gangguan kecemasan (anxiety disorder).

Perbezaan dengan rasa cemas biasa
• Rasa cemas biasa: Muncul dan hilang mengikut situasi atau pencetus, dan tidak menjejaskan kehidupan harian secara teruk.
• Gangguan kecemasan: Rasa cemas yang intens, tidak terkawal, dan berterusan untuk tempoh yang lama (hari, minggu, atau bulan), mengganggu fungsi sosial, pekerjaan, atau pendidikan.
Simptom umum gangguan kecemasan
• Rasa cemas atau takut yang berlebihan dan sukar dikawal.
• Jantung berdebar-debar.
• Sesak nafas.
• Gementar atau gegaran.
• Gangguan tidur.
• Sakit kepala, pening, atau sakit perut.
• Mudah lemas.
Faktor yang menyumbang kepada gangguan kecemasan
• Trauma masa lalu seperti penderaan atau perundungan (bullying).
• Perubahan dalam aktiviti otak yang mengawal emosi.
• Ketidakseimbangan kimia di otak seperti serotonin dan noradrenalin.
• Faktor genetik, di mana risiko meningkat jika ahli keluarga mempunyai gangguan ini.
• Penggunaan dadah atau alkohol
Anxiety perlu dirawat sebelum pesakit menjadi lebih parah & mengakibatkan kemurungan (depression) atau penyakit yang lebih kronik seperti skizofrenia. Boleh baca perkongsian saya mengenai “Ibuku Skizofrenia” di entri ini:
https://saljuputihsite.wordpress.com/2019/11/24/ibundaku-skizofrenia/
Namun, ada golongan yang menyifatkan pesakit mental adalah golongan orang yang tak jaga solat, tak baca Quran atau tak berzikir. Itu adalah stigma masyarakat yang salah & paling penting untuk dibetulkan. Pernah tengok pesakit mental yang dahulunya merupakan seorang Al Hafiz? Atau seorang bilal masjid? Atau seorang cendiakawan yang cemerlang dalam pelajaran? Jika anda belum pernah jumpa, bermakna anda belum bercampur dengan masyarakat secara lebih luas & mungkin juga anda seorang yang tidak ambil cakna mengenai kesihatan mental. Jika hanya terkait dengan iman, bagaimana pula halnya dengan pesakit bukan Islam?
Apabila seseorang yang mengalami anxiety meminta nasihat dari seorang ilmuan agama atau asatizah, mereka akan dinasihati agar mengingati Allah swt, jaga solat, berzikir dan sebagainya. Nasihat itu tidak salah walaupun ia melukakan hati pesakit. Kerana asatizah menasihati mengikut kepakaran dalam bidangnya.

Namun, apabila pesakit mendapatkan rawatan dari doktor sakit mental atau psikiatri, doktor akan menerangkan pelbagai fungsi otak yang ada kerosakan akibat masalah-masalah yang disenaraikan di atas. Doktor akan fokus kepada bagaimana untuk membaikpulih fungsi bahagian otak yang terganggu melalui kaunseling atau ubat-ubatan. Semua ini adalah normal, kerana setiap doktor ada kepakaran masing-masing. Sama keadaannya apabila kita sakit jantung, kita akan jumpa pakar jantung. Kita juga ada pakar tulang untuk sakit tulang, pkar cancer, pakar saraf & sebagainya.

Oleh itu, bukalah minda bahawa, berjumpa psikiatri bukan bermakna pesakit itu gila tetapi dia perlukan rawatan dari pakarnya. Anxiety boleh bersifat sementara. Sama keadaannya apabila kita macam kita demam, apabila makan ubat, kita akan sembuh.
Melalui pengalaman saya yang sedang menjalani rawatan anxiety, saya dapat rasakan banyak improvement setelah menjalani rawatan & pengambilan ubat. Saya pernah berjumpa pakar psikiatri pada tahun 2023 hingga awal tahun 2024. Saya makan ubat “ESPRAN 10mg” selama sebulan. Selepas itu, saya meneruskan rawatan hanya dengan sesi kaunseling tanpa ubat. Selepas beberapa bulan, saya menamatkan rawatan setelah rasa pulih.
Unfortunately ada banyak hal yang berlaku dalam hidup saya dalam tempoh 2 tahun lebih & ujian itu berturut-turut, satu demi satu. Ujian demi ujian datang bertubi-tubi & saya telah mencuba sedaya upaya untuk bertahan, tetap tersenyum kepada dunia & tidak meluah membabi buta. Saya sentiasa cuba hadapinya sendirian terlebih dahulu & jika penat berfikir saya akan minta nasihat dari guru agama saya. Saya tidak suka bercerita kepada ahli keluarga kerana tidak mahu membuatkan mereka risau & sedih. Suami juga bukanlah tempat yang sesuai untuk saya meluah. Jika anda membaca posting saya yang terdahulu di sini, saya telah cuba sedaya upaya untuk kuat & bertahan:
👇🏻👇🏻👇🏻
https://saljuputih.blog/2025/07/04/mengutip-cebisan-jiwa/
Namun, apakan daya saya sebagai seorang manusia biasa yang iman senipis kulit bawang, saya tewas. Saya tetap menunaikan solat 5 waktu, membaca Al Quran , berzikir & sebagainya namun, ia tidaklah semudah yang disangka untuk mengawal esmosi tanpa support system yang kuat. Saya hanyalah seorang wanita biasa yang perlukan belaian & kasih sayang dari orang sekeliling sama macam wanita berusia 40an yang lain.
Sebelum mendapatkan rawatan di psikiatri, saya telah mengalami simptom jantung berdebar laju, sentiasa berpeluh, lupa, resah gelisah & lain2. Paling menyusahkan ialah saya lupa banyak perkara malahan lupa nama kawan-kawan, tarikh-tarikh penting, rutin harian & amalan harian. Setelah membuat pemeriksaan jantung, ternyata jantung saya sihat & doktor menyarankan agar saya berjumpa kaunselor/psikiatrist. Selama 4 bulan selepas itu, saya cuba menenangkan diri secara alami dengan mengawal emosi, beriadah & zikrullah.
Apa sahaja yang tak saya buat?
Solat hajat, membaca Ratib Al Attas, membaca Selawat Tafrijiyyah, membaca Selawat Jibril, zikir Ya Latif dan lain-lain. Bukanlah dengan niat menunjuk-nunjuk amalan, tetapi itulah yang telah saya usahakan. Saya juga telah cuba healing ke pantai, beriadah/senaman, bercuti & sebagainya.

Malangnya, kadar anxiety menjadi semakin teruk sehingga mengakibatkan saya:
1. Rasa rimas dalam keramaian/majlis. Badan akan jadi berpeluh2. Padahal dulu saya suka ke majlis ilmu malahan saya jadi penganjur majlis,
2. Kerap sakit kepala, bahu, perut, demam, sakit sendi & telinga sentiasa berdesing,
3. Mudah berpeluh & rasa panas terutamanya bila ada sesuatu yang membuatkan saya trigger, cthnya mmbc/menonton hal2 yang berkaitan yang pernah menyakitkan hati. Jantung juga berdebar kencang. Saya dah jalani full medical check up jantung ketika saya belum di diagnose sebagai anxiety. Boleh baca sharing saya di posting ini:
Mengutip Cebisan Jiwa
4. Mood tak stabil. Tiba-tiba rasa sedih & menangis tanpa sebab.
5. Cepat marah & gagal mengawal aksi spontan ketika marah.
6. Mudah terkejut & sentiasa rasa takut/tak selamat walau di mana saya berada terutamanya di rumah sendiri. Akibat trauma akan sesuatu hal yang pernah berlaku dulu. Paling takut mendengar pintu terhempas.
7. Rasa malas & hilang minat untuk buat aktiviti yang dahulunya saya suka. Menghadap komputer juga akan membuatkan saya rasa stress walhal itu adalah kerja yang biasa saya buat selama puluhan tahun.
8. Rasa tak selamat di rumah & sentiasa rasa nak keluar/lari dari rumah. Rumah is not my “Home Sweet Home”. Saya rasa my husband is not my protector anymore.
9. Rasa tak percaya kepada sesiapa pun. Kadang2 muncul overthinking yang membuatkan saya rasa orang nak anianya saya (walhal tak pun…)
10. Lupa. Paling menyedihkan, saya lupa bacaan amalan harian yang telah saya amalkan selama bertahun-tahun. Saya lupa doa selepas solat, saya confius sama ada saya dah solat atau belum, saya lupa cara baca zikir harian sehingga menyebabkan saya ambil masa berhari-hari untuk hafal semula, saya lupa semua nombor akaun peribadi atau syarikat & sebagainya. Pernah juga drive & lupa jalan. Beberapa kali pusing di jalan yang sama, stop sekejap & fikir semula saya sebenarnya nak ke mana.
10. Gerd – Masalah angin di perut, batuk & muntah-muntah.
Setelah menjalani sesi kaunseling, doktor menyarankan saya makan ubat. (Hovid-Escitalopram 10mg & Atenolol Normaten 50mg). Menurut doktor, fungsi Hipokampus saya mengalami sedikit kerosakan akibat pelbagai tekanan yang saya lalui sejak beberapa tahun kebelakangan ini & ada banyak “Anger Issues” yang saya alami. Kini saya faham, bagaimana permulaannya ibu saya mendapat skizofrenia. Bermula dari anxiety yang tak dirawat & akhirnya membawa akibat yang berkekalan kepada fungsi otak.

Hipokampus ialah struktur otak berbentuk seperti kuda laut yang terletak di lobus temporal dan memainkan peranan penting dalam memori dan pembelajaran. Ia berfungsi untuk menukar memori jangka pendek kepada jangka panjang, menyimpan memori tentang fakta dan peristiwa (memori eksplisit), serta memori tentang lokasi atau laluan (memori spasial). Kerusakan pada hipokampus boleh menyebabkan kehilangan memori yang serius.
Fungsi Utama Hipokampus
• Pembelajaran dan Memori: Mengolah dan menyimpan maklumat baharu serta menukar memori jangka pendek kepada jangka panjang.
• Memori Spasial: Membantu dalam orientasi dan navigasi, contohnya mengingati arah ke rumah atau laluan tertentu.
• Memori Eksplisit: Terlibat dalam ingatan fakta dan peristiwa yang boleh dinyatakan secara sedar.
• Sistem Limbik: Merupakan bahagian daripada sistem limbik yang terlibat dalam emosi, motivasi, dan tingkah laku.
Kesan Kerosakan Hipokampus
• Masalah Ingatan: Kesukaran membentuk memori jangka panjang baharu, walaupun memori lama mungkin masih dapat diingati.
• Kehilangan Orientasi: Kesukaran mengenali tempat dan mengikuti arah.
• Penyakit: Kerosakan hipokampus sering dikaitkan dengan penyakit seperti penyakit Alzheimer, demensia, dan epilepsi.

Apa yang menyebabkan keadaan ini berlaku?
Anxiety bukan tiba2 wujud. Ia berlaku setelah seseorang itu memendam rasa terlalu lama. Berbulan-bulan, setahun atau 2 tahun bergantung kepada daya tahan individu itu sendiri.
Antara faktor utama saya mendapat anxiety ialah saya menyimpan/menahan kemarahan & tekanan melampau secara sendirian, terlalu lama (2 tahun lebih). Bermula dari:
1. masalah rumah tangga,
2. mental torture ketika rumah tangga bermasalah,
3. kehilangan kepercayaan kepada orang terdekat (suami, kawan, ex-staff)
4. tekanan akibat ibu kandung yang tiba-tiba kanser kulit ketika sedang bergelut dengan mengalami masalah rumah tangga,
5. ketika dalam proses membaikpulih rumah tangga, saya dipertanggungjawabkan menjaga mak mentua yang sakit tanpa bantuan/sokongan suami/ipar untuk menguruskan mak mentua contohnya mandikan, sediakan makanan, berjaga malam, bersihkan bilik tidur mak mentua disamping melakukan kerja-kerja rumah yang lain (tulang belakang saya tak kuat & saya minta suami carikan maid tetapi Allah swt belum izinkan),
6. tidak mendapat support & tiada pembantu untuk melakukan kerja rumah asas seperti laundry, memasak, mengemop lantai & sebagainya,
7. Terluka/kecewa akibat di sindir/diejek oleh ipar duai yang tidak mahu membantu menjaga mak mentua. Tiada giliran menjaga mak mentua, sedangkan saya juga menjaga ibu kandung yang skizofrenia & saya masih bekerja,
8. terpaksa bekerja semula setelah syarikat dianiaya oleh pekerja/sahabat suami & semua pekerja resign serentak, suami serahkan 90% urusan untuk saya urus/selesaikan pelbagai masalah syarikat,
9. Saya adalah tempat adik-beradik meluah & mengadu masalah.
Doktor memberitahu bahawa tubuh saya sudah tidak mampu menanggung beban yang saya galas. Tubuh/fizikal jadi penat akibat kerahan tenaga yang saya lalui & perasaan marah yang saya pendam. Akhirnya ia mengakibatkan saya kerap demam & sakit sendi.
Saya tidak punya tempat mengadu atau meluahkan perasaan. Saya tidak ada ayah, abang, kakak atau family yang menjadi suppot system saya. Walaupun ada ibu, ibu saya skizofrenia, sudah tentulah beliau bukan tempat saya mengadu nasib. Saya menghadapi segalanya bersendirian.
Tambahan pula, rentetan dari isu rumah tangga, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk meneruskan hidup bersama orang yang pernah melukai & mengguris hati saya. Segala kepercayaan mungkin susah untuk kembali lagi. Walaupun beliau telah meminta maaf & melayan saya dengan baik sekarang, segala trauma tidak mudah dihilangkan & segala kenangan pahit tak dapt dipadam dari memori sebegitu mudah. Seikhlasnya, saya maafkan but “DAMAGE HAD BEEN DONE”. However, I’m trying so hard to rebuild the relationships 😔😔😔.

Namun, hal ini tak dapat difahami oleh sesiapa pun selagi mereka tidak melaluinya. Malahan, mereka akan berkata “Kau tak redho dengan takdir” atau “Kau tak ikhlas memaafkan” atau “Kau tak beriman” atau “Kau tak terima qada & qadar” dan banyak lagi ayat-ayat begitu yang dilemparkan. Hanya Allah swt yang Maha Tahu apa yang tersirat dihati saya.
It’s not easy to live in the house di mana kamu masih boleh nampak dengan jelas akan segala pertelingkahan yang pernah berlaku. Itulah sebabnya saya sentiasa rasa ingin keluar/pindah dari rumah tersebut. Saya masih tak dapat padamkan memori itu.
Begitulah….hidup seorang anxiety yang tidak difahami oleh sesiapa pun melainkan orang yang melaluinya atau pun doktor psikiatri.
Alhamdulillah, sekarang saya masih menjalani sesi kaunseling bersama doktor sakit mental & saya rasa lega kerana ada pendengar & penasihat bertauliah. Sedikit sebanyak, doktor mengajar saya untuk melepaskan beban di bahu & menjalani hidup dengan lebih tenang. Ubat-ubatan yang diberikan membantu saya tidur lebih awal & lena. Walaupun masih banyak effect anxiety yang belum pulih, saya percaya saya akan sembuh secara perlahan-lahan. Doktor sentiasa follow up & bertanya khabar. Saya rasa sedikit tenang.

Saya berharap, perkongsian ini membuka mata & minda masyarakat bahawa anxiety bukan sengaja di buat-buat. Kami, sebagai pesakit tidak pernah meminta untuk menghadapi semua ini. Tetapi Allah swt memilih kami supaya kami lebih mendekatkan diri kepada Nya. Allah swt juga memberitahu saya bahawa manusia bukanlah tempat untuk bersandar, sesiapa sahaja boleh melukakan perasaan kita. Luka yang disebabkan oleh orang tersayang adalah luka yang paling tajam & mungkin tidak akan sembuh. Bersandarlah hanya kepada Allah swt & fokus jaga kesihatan mental dengan tidak menafikan kepakaran pakar dalam bidang psikiatri.
Kepada mereka yang tega melukai hati & perasaan orang lain, sama ada dengan perbuatan atau kata-kata, ingatlah dunia ini berputar. Jika mangsa kalian tidak membalas, Allah swt pasti berikan balasan melalui orang lain atau cara Nya. Bersihkanlah hati. Ingatlah bahawa Allah swt itu tidak tidur & doa orang yang kalian anianya itu tiada hijabnya.
Buat semua penghidap anxiety, sayangi diri sendiri sebelum kita sayangi orang lain. Jangan takut untuk mendapatkan rawatan psikiatri. Kita bukan gila, kita cuma perlukan rawatan yang betul. Percayalah, tidak ada orang yang benar-benar menyayangi kita setulusnya lebih dari kita sendiri. Kita jaga kita!
Fi khairin wa lutfin wa’afiah.
Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Selasa, 11.11.2025



