Assalamualaikum warahmatullah
Pertama sekali saya tegaskan; saya bukan lawyer syariah atau keunselor rumah tangga.
Entri ini ditulis berdasarkan pengalaman sendiri & pengamatan melalui pengalaman orang lain yang datang berjumpa saya untuk meminta khidmat nasihat atau sekadar menjadi pendengar kepada masalah rumah tangga mereka. Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga selama 24 tahun & dikurniakan 4 orang cahaya mata. Dari segi ilmu rumah tangga yang sakinah, mawaddah, warahmah, saya rasa saya belum mempunyai rumah tangga yang sesempurna itu. Ada banyak onak duri yang telah & sedang dilalui.
Sebagai info tambahan, saya dibesarkan dalam family yang kucar-kacir & akhirnya menyebabkan ibu saya mengalami masalah mental (skizofrenia). Akibat dari seorang ayah yang baran & ada banyak masalah lain & ibu yang bertahan selama 23 tahun demi anak-anak. Tetapi saya sedaya upaya cuba membina jati diri saya supaya tidak terikut-ikut dengan persekitaran negatif sebagaimana saya dibesarkan. Sedaya upaya saya cuba baiki diri & membesarkan anak-anak saya dengan penuh kasih sayang & didikan agama yang semampunya.

Boleh tonton perkongsian mengenai perjalanan hidup saya bersama ibu yang skizo & bagaimana beliau mula mendapat skizo di link youtube ini:
https://youtu.be/QMuBDQUso6U?si=TAAoK4mjebQWiJH-
Kepada pembaca blog ini; sama ada anda setuju atau tidak dengan nasihat/pandangan saya, itu adalah pilihan masing-masing. Tiada paksaan untuk menerima pendapat ini, membenarkan atau menidakkannya. Berlapang dada & sebelum membuat sebarang keputusan, mohonlah petunjuk dari Allah swt terlebih dahulu. Saya tidak bertujuan menggalakkan perceraian tetapi lebih kepada ingin menyelamatkan susuk tubuh seorang wanita yang tangannya mampu menggoncang dunia.
Dalam beberapa tahun ini saya kerap didatangi oleh ibu/isteri muda (lingkungan usia 20an-30an), yang baru mendirikan rumah tangga & mempunyai anak-anak yang masih kecil. Mereka meminta khidmat nasihat tatkala terasa lelah menghadapi kerenah suami yang pelbagai kategori. Antaranya:
- Kaki pukul atau psiko (rosakkan mental dengan percakapan/perbuatan contohnya pecahkan barang ketika marah, hempas pintu, mengherdik, menghina, menyumpah-nyumpah, menghina ahli keluarga, membanding-banding isteri dengan orang lain & sebagainya).
- Kaki judi/game on9.
- Terlibat dengan dadah/jenayah
- Malas bekerja ataupun tidak membantu kerja rumah/jaga anak.
- Curang atau kaki perempuan/berzina
- Peminjam ALONG/CETI HARAM.
- Culas dalam memberi nafkah.
- Berpoligami secara sembunyi & menyakiti hati isteri yang sedia ada apabila rahsia terbongkar.
Hal ini bukanlah baru dialami selama 1 bulan atau 2 bulan perkahwinan, tetapi telah melayari bahtera perkahwinan antara 5-15 tahun.
Pertama sekali, apabila diutarakan tentang perasaan sedih, marah, kecewa seorang isteri, saya akan bertanya;
“SEKARANG NI APA YANG KAMU NAK?
NAK TERUSKAN PERKAHWINAN ATAU NAK TAMATKAN? “
Hanya ada dua pilihan.
Mostly jawapan mereka ialah:
“Saya masih sayangkan suami saya”
Ataupun
“Saya nak bercerai tapi saya kesian kat anak2 saya”
Ataupun
“Saya tak nak bercerai, tapi saya nak suami saya berubah”
Begitulah….antara jawapan dari para isteri yang masih bersabar walaupun hatinya telah terluka. Ada juga yang was2, tak tahu apa yang mereka nak.
Mana-mana jawapan yang diberikan, saya tidak akan terus menyarankan mereka bercerai. Usahakan dulu dengan langkah-langkah berikut:
PERTAMA!
Saya bertanya:
1. Lihat dirimu, dah tutup aurat dengan sempurna? cukupkah solatmu, puasamu & amal ibadah wajibmu.
2. Bagaimana amalan sunatmu?
3. Bagaimana cara bercakap/melayan suami, ibu bapa & mentua?
Jika semuanya ok. Maka tambahlah amalanmu. Sebelum mengubah suamimu, ubah dirimu dahulu. Jika sudah sampai ke tahap stress melampau, saya akan minta mereka lakukan amalan ini:
- Solat taubat, tahajjud, dhuha, istikharah & hajat setiap hari. Sebaiknya lakukan solat hajat cara Imam Ghazali atau Dato Dr Ismail Kamus seminggu sekali (seperti dalam gambar).
- Baca Al Quran setiap hari.
- Solat istikharah selama 40 hari untuk meminta petunjuk dari Allah swt sebelum membuat sebarang keputusan.
- Istighfar, bertasbih & berselawat sekurang-kurangnya 1000 kali sehari. Paling mudah untuk dibaca ialah Selawat Jibril.
- Baca Selawat Tafrijiyyah sebanyak 4444 kali (ikut tempoh kemampuan masing-masing)
- Baca zikir “Ya Latif” sebanyak 33,333 kali (ikut tempoh kemampuan masing-masing)
- Baca Ratib Al Attas setiap hari atau sebanyak 41 kali (jika mampu).
- Dapatkan khidmat nasihat dari orang alim/ilmuan agama/guru yang mursyid/lawyer syariah.
- Hadir ke majlis ilmu at least seminggu sekali.

Tenangkan diri & fokus dengan zikrullah, ia membantu mengurangkan kecelaruan emosi. Nak buat semua nasihat PERTAMA mungkin ambil masa 40 hari ke 3-4 bulan. Bergantung kepada tekad anda untuk merayu bersungguh-sungguh dengan Allah swt sebelum meneruskan ke nasihat KEDUA. Jika anda telah bersabar 5 ke 15 tahun, takkan tak boleh bersabar lagi beberapa bulan, berbicara dengan Allah. Bukankah begitu?

KEDUA!
Sekiranya semua yang di atas telah dilakukan tetapi anda masih rasa tersiksa dengan kehidupan rumahtangga anda, maka move to next step.
- Sekiranya suami menyakiti dari sudut fizikal/pukul ataupun merosakkan emosi (psikologi), maka pergilah ke balai polis untuk buat report demi keselamatan diri & anak. Report tersebut boleh digunakan di mahkamah syariah sekiranya perlu.
- Bagi isteri yang sudah burnt out akibat keganasan rumah tangga, segera dapatkan khidmat kaunseling di Jabatan Psikiatri. Ia penting untuk memelihara mental dalam membesarkan anak2. Ia juga boleh digunakan untuk permohonan fasakh, jika terkait.
- Mengadu ke pejabat agama atau failkan kes ke mahkamah syariah. Sebelum memfailkan cerai, failkan dahulu permohonan rundingan/kaunseling rumah tangga. Jika gagal mendapat kesepakatan…buat tuntutan nafkah bagi semua anak dibawah usia 18 tahun. Bagi isteri yang dipoligamikan secara rahsia, buat tuntutan harta sepencarian, nafkah isteri & nafkah anak-anak. Jangan biarkan pengkhianatan suami memakan diri anda. STAND FOR YOUR RIGHT! Tiada istilah malu atau membuka aib jika anda ke mahkamah kerana di situ adalah tempat yang betul untuk menyelesaikan masalah.
- Jika mampu, hire lawyer atau jika tak mampu pergilah ke Biro Guaman untuk membuat tuntutan fasakh atau tebus talak sekiranya anda teraniaya/digantung tak bertali/tak cukup nafkah zahir & batin. Setakat hari ini (tahun 2025) bayaran biro guaman adalah RM800.00.
Tak perlu mengadu di media sosial. Usahakan agar aibmu tidak dibuka. Barangkali apabila masalah anda selesai, anda akan bahagia semula & apa yang anda share di media sosial sudah tak boleh dipadam akibat di share/save oleh nitizen walaupun anda bukan selebriti.
Namun, masalah terbesar ialah dengan pendirian si isteri itu sendiri. Ada isteri yang tidak mahu melakukan nasihat PERTAMA tetapi terus menerus mengharapkan perubahan dari pihak suami. Ia agak susah…kerana anda sepatutnya yakin dengan ayat-ayat Allah bahawa itulah yang paling power dalam melembutkan hati suami & isteri. Paling tidak, melembutkan & menenangkan hati si isteri itu sendiri.
Masalah seterusnya ialah, si isteri tidak bersedia melakukan nasihat KEDUA. Mereka memberi alasan:
- Kesian kat anak kalau bercerai.
- Malu
- Takut suami jadi lagi ganas. Padahal isteri akan dilindungi setelah ada pengaduan ke mahkamah. Ada kes yang si isteri boleh mohon dipisahkan tempat tinggal sementara prosiding mahkamah berjalan.
- Tak bersedia jadi janda terutamanya suri rumah. Mereka bimbang akan masalah kewangan, tempat tinggal & nafkah anak-anak. Mereka belum sampai tahap percaya bahawa rezeki itu dari Allah swt, bukan dari suami. Mereka perlu tingkatkan ilmu tauhid!
Beberapa hal yang harus difahami ialah, walaupun perceraian adalah sesuatu yang Allah swt benci tetapi ia bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan dalam Islam. Boleh baca di link ini mengenai status hadith mengenai talak: 👇🏻👇🏻👇🏻
Apa yang nak saya tekankan ialah, ibu bapa yang membesarkan anak dalam rumah tangga toksik adalah lebih bahaya & merosakkan masa hadapan anak-anak. Saya sangat TIDAK BERSETUJU jika ada seorang isteri/ibu yang mempertahankan rumah tangga semata-mata kerana anak. Sedangkan anak-anak menyaksikan ibunya dipukul, dihina, diherdik, atau menangis saban hari akibat perbuatan ayahnya. Keadaan ini akan membuatkan emosi anak tercalar bahkan membenci ayahnya.
Trauma zaman kanak-kanak (childhood trauma) akan membuatkan anak-anak membesar dalam keadaan tidak sihat. Ada kemungkinan membuatkan anak yang kurang kasih sayang menjadi homoseksual (suka kepada sama jenis), menjadi kasar/ganas/baran, tidak mahu berkahwin, membenci ibu bapanya kerana membiarkan mereka membesar dalam keadaan begitu. Anak akan lebih mudah mencari tempat meluahkan perasaan kepada orang luar & wujudlah pelbagai masalah sosial.
Paling menyedihkan, apabila anak perempuan berkahwin & mendapat pasangan yang tidak faham akan traumanya & mempermainkan traumanya. Menyindir atau menjadikan ia satu bahan untuk menyakiti hati isteri. Semua itu akan merosakkan emosi si anak yang sedaya upaya cuba percaya bahawa rumah tangga bahagia itu wujud. Tetapi akhirnya dia dikecewakan jua. Ini mengakibatkan mereka hilang kepercayaan kepada lelaki atau institusi kekeluargaan.
Tolong buka minda anda, bahawa ada ramai wanita yang diceraikan atau menjadi balu akibat kematian suami mampu hidup sendiri malahan lebih bahagia membesarkan anak dengan tangan sendiri. Tetapi ada ramai wanita naif yang mati di tangan suaminya.

Ada isteri yang cuba membawa kes ke mahkamah syariah tetapi dihidu oleh suaminya, lalu suaminya memujuk dengan ayat-ayat simpati supaya tidak meneruskan kes. Maka, nasihat saya; STOP BEING SO NAIVE! Selagi tidak difailkan, suami takkan berubah mengikut perintah mahkamah. Anda perlukan orang berautoriti untuk menasihati suami yang ego. Terutamanya jika anda tiada ibu bapa, abang, bapa saudara atau keluarga yang mampu membela anda. TOLONG JANGAN PERCAYA DENGAN PUJUK RAYU LELAKI YANG MEROSAKKAN HIDUPMU! Orang yang anda cintai itu sedang memanipulasi diri anda kerana dia tahu kelemahan anda.

INGAT! CINTA ITU BUTA & MEMBUTAKAN!
Jika anda sudah sangat sakit akibat makan hati, terpaksa bergolok-bergadai barang kemas, kereta & semua harta milikanmu tetapi masih mengharapkan simpati dari suami, anda sebenarnya terperangkap dengan harapan & cinta palsu. Maka, buka minda & melangkahlah. Bina bahagiamu sendiri.
Islam tidak mengajar kehidupan rumah tangga itu adalah rumah tangga yang dibina untuk merosakkan seorang wanita. Lelaki sepatutnya menjadi pelindung kepada isteri & anak2nya. Islam itu indah. Rumahtangga sepatutnya membahagiakan & kebahagiaan itu dibawa hingga ke syurga.

Wahai para isteri yang dianiaya….
Hari ini, kita menyaksikan kekejaman dunia akibat ketiadaan ilmu agama yang baik & iman yang nipis. Berapa ramai isteri yang dibunuh, dijual sebagai pelacur, dirosakkan mentalnya sehingga gila, dicederakan dan sebagainya akibat mempunyai suami yang ego & tidak menyayangi isterinya.
Bangkitlah!
Berhenti menyalahkan diri sekiranya anda sudah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sepenuhnya walaupun tidak sesempurna isteri para Nabi ﷺ. Ia bukan salah anda jika anda tidak mengahwini suami yang qawwam.
Hargai diri sendiri. Cari bahagia tanpa mengharapkan suami yang sememangnya tidak mencintaimu dari hati. Dia sekadar mencintaimu di bibir & untuk kepuasan seks semata-mata.
Fahami agama mengenai ilmu rumah tangga. Hadirlah ke majlis ilmu, cari guru yang mursyid supaya anda faham bahawa tuntutan sebenar dalam rumah tangga ialah seperti yang digariskan dalam Al Quran & Sunnah.
Jangan jadi mangsa keadaan semata-mata kerana malu menjadi janda & rasa tak yakin untuk hidup tanpa suami. In shaa Allah, mudah2han Allah akan gantikan dengan suami yang lebih baik.
Paling penting, jangan pula anda merosakkan atau mengganggu rumah tangga orang lain setelah status anda bertukar menjadi “ibu tinggal”. Hormati perasaan sesama wanita.
Setakat ini dahulu coretan & nasihat saya kepada isteri-isteri yang teraniaya (bukan isteri yang dengan sengaja mencari sebab untuk berpisah atau isteri yang curang/nusyuz). Fahami betul-betul apa yang ingin saya sampaikan. Pilihan adalah di tangan anda.
NAK BAHAGIA ATAU NAK DERITA?
Tepuk dada tanya iman & diri sendiri.
Bagi isteri yang diratukan oleh suami, bersyukurlah. Jangan kufur nikmat.
Diakhirnya, saya ulang sekali lagi saya bukan lawyer syariah atau perunding rumah tangga/kaunselor. Saya hanya insan biasa yang terbiasa dengan dugaan hidup yang pelbagai dari kecil hingga sekarang. Pengalaman mendewasakan saya.
Nasihat ini mungkin kelihatan jahat, tetapi inilah realiti hidup seorang wanita yang teraniaya. Saya simpati kepada mereka. Saya ingin mereka bangkit & kuat membina hidup agar lebih bermakna. Bahagia beribadah kerana Allah swt.
For me, saya juga mencipta kebahagiaan sendiri.
Fi khairin wa lutfin wa’afiah
Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Sabtu, 25.10.2025
#usahawan
#penulisbuku
#penulisebook
#senioradviserMSGA
#dutaAseanMSGA
#pencatatnotakuliah