JANGKA HAYAT RUMAH TANGGA BUKAN LAMBANG KEBAHAGIAAN

Jika ditanya soalan ini kepada saya, saya memutuskan bahawa panjangnya jangka hayat sesebuah rumah tangga bukan lambang kebahagiaan. Walaupun usia perkahwinan melepasi 20, 30, 40 tahun, namun ramai yang hidup dengan mati rasa atau sekadar menjalankan tanggungjawab masing-masing demi anak atau atas sebab-sebab tertentu yang lain.

Namun tak dinafikan, ramai juga pasangan yang benar-benar bahagia disepanjang usia perlahwinan. Jika dilanda ombak sekali-sekala, itu adalah normal. Berkat kesabaran & sikap tolak ansur maka tidak mustahil wujud pasangan yang hidup bahagia hingga ke akhir hayat bersama pasangan.

Sabar adalah kunci dalam rumah tangga

Saya berpendapat begini dengan melihat contoh dalam masyarakat & orang terdekat dalam hidup saya & rumah tangga saya sendiri. Dalam kehidupan berumahtangga, ada pasang surutnya. Tidak semuanya indah seperti yang digambarkan dalam drama atau novel cinta.

Apa yang penting ialah:

1. sebuah kejujuran yang priceless,

2. kesetiaan yang tulus,

3. kasih sayang yang ikhlas &

4. rasa ihsan kepada pasangan jika pasangan mempunyai kekurangan atau jatuh sakit.

Dari situlah wujudnya sakinah mawaddah warahmah. Jika rumahtangga tidak diterajui dengan iman, malahan nafsu semata-mata maka hilanglah keberkatan dalam rumahtangga tersebut.

3 elemen penting dalam perkahwinan

Berikut adalah contoh-contoh rumah tangga yang bertahan bertahun-tahun tetapi tidak bahagia:

Contoh 1:
Kedua pasangan tidak bahagia, sering bergaduh & sentiasa dalam masalah kewangan tetapi usia perkahwinan menjangkau lebih 20 tahun demi anak. Mereka bercerai setelah anak dewasa kerana anak tidak lagi memerlukan perhatian ibu bapa atau telah berpindah ke tempat lain. Anak-anak memilih untuk membela nasib ibu & membawa ibu tinggal bersama mereka. Saya membesar dalam keluarga sebegini.

Contoh 2:
Ada pasangan yang berpoligami tetapi salah seorang isteri tidak bahagia atau diabaikan. Kebiasaannya isteri pertama, tetapi beliau memilih untuk bertahan atas faktor dimadukan ketika berusia 40an atau 50an. Lalu mereka memilih untuk membiarkan suami mereka berbahagia bersama pasangan baru/muda manakala mereka beruzlah mendekatkan diri kepada Allah swt. Golongan ini tidak menuntut cerai, redho & teruskan perkahwinan tanpa kasih sayang seorang suami. Diakhirnya, ada suami yang kembali kepada isteri pertama setelah melepaskan isteri yang lain. Terutamanya apabila si suami jatuh sakit atau menjadi susah akibat kerugian dalam perniagaan, hanya isteri yang setia yang sanggup jaga. Manakala isteri muda takkan sanggup bersusah payah dengan suaminya.

Contoh 3:
Ada pasangan yang memilih buat hal masing2 tetapi sebab tak nak anak2 berpisah sekiranya bercerai, maka mereka buat perjanjian yang masing-masing menjalani haluan masing-masing asalkan tetap tinggal serumah. Hal ini dilarang dalam agama Islam, tetapi dek kerana kejahilan ilmu agama maka keadaan ini wujud dalam masyarakat kita.

Saya mengenali pasangan yang mempunyai anak OKU. Mereka hanya bertahan demi menguruskan anak OKU kerana si isteri perlukan kudrat/kekuatan suami untuk mengangkat/memegang/menguruskan anak istimewa tersebut. Tetapi mereka buat perjanjian agar masing-masing bebas dengan urusan hidup masing-masing sama ada di dalam atau di luar rumah. Nauzubillah….

Contoh 4:
Isteri ditinggalkan oleh suami bertahun-tahun atau suami dipenjarakan atas kesalahan jenayah, tetapi isteri tidak pernah menuntut fasakh ke mahkamah. Setelah bertahun-tahun, suaminya kembali & mereka meneruskan kehidupan berumahtangga seolah-olah tiada apa yang berlaku. Ini adalah level isteri solehah yang tahap kesabarannya luar biasa.

Lebih menyedihkan lagi, ada pasangan yang saya kenal berpisah puluhan tahun. Si isteri tidak pernah menuntut fasakh dan telah berkahwin di Thailand dengan pasangan baru. Setelah lebih 10 tahun, suaminya kembali & mahkamah syariah memutuskan bahawa mereka masih sah sebagai suami isteri manakala perkahwinan barunya adalah tidak sah. Allahuakhbar…Moga kita dijauhi dari kejahilan agama.

Contoh 5:
Setelah usia perkahwinan melebihi 10, 15, 20 tahun, suami/isteri curang tetapi pasangan memilih untuk memaafkan & kembali menerima pasangan yang telah curang itu walaupun hatinya sudah tawar. Perkahwinan diteruskan sekadar menjalankan tanggungjawab masing2 atas dasar mengenangkan budi/kebaikan-kebaikan pasangan selama mereka berkahwin. Maka mereka bertahan bertahun-tahun dalam rumah tangga yang hambar. Apabila sampai 1 stage yang kemuncak, si isteri akan memfailkan cerai kerana tahu, hidup sendirian adalah lebih baik daripada hidup dalam rumah tangga yang hambar.

Contoh 6:
Pasangan jatuh sakit kronik contohnya koma, lumpuh, stroke & lain-lain. Pasangan yang sihat memilih untuk menjaga pasangan yang sakit walaupun hidupnya tersiksa, tidak cukup makan pakai, kesihatan dirinya sendiri terabai & sebagainya. Mereka bertahan bertahun-tahun sehingga pasangan yang sakit itu sihat kembali atau meninggal dunia. Usia perkahwinan mungkin menjangkau 15 ke 20 tahun atau lebih.

Contoh 7:

Golongan ini adalah isteri tersembunyi yang berkahwin secara rahsia & menjadi isteri ke 2, 3 atau ke 4. Akibat kejahilan suami yang tidak jujur dalam perkahwinan, maka kewujudan mereka dirahsiakan. Mereka hidup bertahun-tahun sebagai isteri tetapi dijadikan tempat melempias nafsu semata-mata. Ada yang hanya berjumpa dengan suaminya seminggu atau sebulan sekali atau pada waktu-waktu tertentu demi mengelakkan daripada perkahwinan mereka diketahui oleh isteri pertama. Golongan ini tidak boleh mempamerkan suami mereka kepada umum contohnya hadir bersama ke majlis keluarga & sebagainya. Anak-anak mereka juga tidak mendapat kasih sayang & perhatian yang cukup dari ayahnya. Lebih malang lagi, ada yang tidak mendaftarkan perkahwinan di luar negara ke majlis agama Islam di Malaysia & mereka tidak mempunyai hak sebagai isteri di Malaysia. Mereka seolah-olah perempuan simpanan yang sah untuk digauli oleh suami mereka. Tetapi mereka sanggup hidup begitu. Adakah mereka bahagia?

Kesimpulannya, apabila kita melihat jangka hayat rumah tangga sebuah perkahwinan yang panjang, tak perlu membuat spekulasi bahawa mereka adalah pasangan paling ideal/serasi/romantik di dunia. Kehidupan setiap orang berbeza-beza dugaannya. Apa yang dipertontonkan dengan mata kasar adalah tidak sama dengan hakikat sebenar.

Fokuslah kepada rumah tangga sendiri. Carilah redho Allah swt dalam melayari kehidupan berumahtangga. Hanya dengan hidup berlandaskan Al Quran & sunnah akan menyelamatkan kita dari merosakkan institusi perkahwinan kita.

Kepada para isteri sekalian, jalan menuju syurga itu susah. Walaupun dijanjikan syurga kepada wanita solehah seperti yang diberitahu dalam hadis ini:

Daripada Anas r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila seorang wanita (isteri) itu melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga harga dirinya dan mentaati perintah suaminya, maka di akhirat kelak, dia dipanggil untuk masuk ke syurga daripada mana-mana pintu yang dia sukai (sesuai dengan pilihannya).”
(Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Keluarga Sakinah

Begitu juga kepada para suami, jika gagal mendidik isteri di jalan yang ditetapkan agama, maka syurga itu juga bukan milik mereka.

Dr Muhammad Zuhaili memberi takrifan nusyuz di dalam kitabnya: “Nusyuz bermaksud derhaka dan kebiasaannya dilakukan oleh wanita. Seseorang perempuan nusyuz itu ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Selain itu, nusyuz bagi suami ke atas isterinya adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangannya”.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90)
Firman Allah SWT:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya)
(Surah al-Nisa’, 128)

Boleh baca selanjutnya di:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – IRSYAD HUKUM SIRI KE-371: NUSYUZ BAGI SEORANG SUAMI

Suami wajib mendidik isteri tentang agama
(ilmu fardu ain, fiqh, tauhid dll)

Bersama kita hidup dalam syariat Allah swt.

Tulisan ini adalah secara umum sahaja & tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Sejujurnya usia perkahwinan saya sendiri akan menjangkau ke tahun 24 pada 6/5/2025. Namun ia bukanlah seindah pelangi di sepanjang tempoh tersebut. Pelangi itu pernah hilang & apabila ia muncul kembali, warnanya tidak lagi secerah dahulu. Ribut & tsunami juga pernah melanda. Namun, tidaklah bermakna saya tak bahagia, saya jalani seadanya. Selagi Allah swt meletakkan saya di sisi suami, saya berdamai dengan takdir. Itulah yang dinamakan asam garam rumah tangga. Hanya doa & munajat yang mampu dipanjatkan kehadrat Sang Pencipta agar kami sekeluarga sentiasa dalam redho Allah swt.

Bahagia itu kita yang cipta. Macam mana caranya? Bergantung kepada kefahaman agama, tahap mengenal Allah swt & tahap keimanan masing-masing. Yang penting, jadilah orang yang jujur, ikhlas & pandai menjaga hati/perasaan orang yang kita sayang.

Kita sama-sama belajar meletakkan Allah swt & Rasulullah ﷺ di dalam hati. In shaa Allah kehidupan akan lebih tenang. Jika sekali-sekala hati tak tenang, itu normal. Kerana kita manusia biasa.

Wallahu’alam

Fi kahirin wa lutfin wa’afiah

Love as always
💝Al Faqirah Ummu Nuh💝
Ahad, 4 Mei 2025

#ibuanak4

#isteriyangfaqir

#24yrsofmarriage