Damai di Kota Tarim

Subhanallah….pada tanggal 4 Oktober 2023 aku menjejakkan kaki ke Bumi Tarim, Hadralmaut Yaman bersama 4 orang anakku, ibuku & rombongan Habib Muhammad bin Alwi Al Attas. Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt yang telah mengizinkan aku sampai ke Kota Sejuta Wali.

Demi Allah…aku telah menanam azam untuk ke Kota Tarim sejak tahun 2012, ketika anak sulungku bertemu Habib Umar bin Hafidz di Masjid KLCC & Habib Umar berkata kepadanya “Jumpa di Tarim”.

Sejak itu aku sering membaca doa “Ya Tarim wa ahlaha”

Sesungguhnya…

Allah swt telah mengaturkan perjalanan hidup yang indah disulami perlbagai liku buatku. Tatkala hati sedang galau, disaat itulah Allah izinkan aku tiba di kota penuh kedamaian ini.

Video: Keberangkatanku ke Tarim bersama anak-anak

Luar biasa…kota ini sangat luar biasa bagiku.

Walaupun aku sudah banyak menjelajah ke pelbagai negara, namun Kota Tarim sangat berbeza. Siapa yang pernah ke sana akan sentiasa merinduinya. Akan sentiasa rasa tak puas berada di situ. Akan sentiasa terbayang akan suasana Tarim & segala isinya.

Ma shaa Allah…kedamaiannya tak terdapat di tempat lain.

Aku masih ingat, ketika kakiku melangkah meninggalkan tanah airku, seolah-olahnya aku telah meninggalkan sebahagian dari diriku. Ku tinggalkan suami, keluarga, sahabat handai & harta bendaku demi perjalanan mensucikan hati ini. Apabila aku tiba di Kota Tarim, seolah-olahnya telah lahirnya diriku yang baharu.

Aku ke Kota Tarim dengan deraian air mata. Namun hatiku cekal untuk melangkah. Aku laksana seekor merpati yang terlepas dari sangkar & tak ingin pulang kembali ke sangkar emas itu. Aku ingin mencari redho Allah & membentuk ketenangan hatiku dalam rehlah itu.

Dari Malaysia aku transit di Doha, seterusnya ke Mesir & bermalam di Mesir. Keesokan harinya barulah bertolak ke Seiyun. Kemudian menaiki kereta ke Kota Tarim. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 hari.

Kota Tarim yang damai

Kota ini bukanlah kota berprestige tinggi atau maju seperti negara dunia ke 3. Ia kota yang masih jauh dari kemajuan. Kelajuan internet juga hanya setakat 3G sahaja. Tiada mall besar, tiada laluan keretapi laju seperti LRT dan lain-lain, tetapi semua keperluan hidup yang benar-benar kita perlukan ada di Tarim.

Amazingly…aku hidup dengan tenang tanpa media sosial selama berada di Kota Tarim. Terasa indahnya hidup jika kita tidak mencari berita dunia. Aku yakin, jika Allah berkehendakkan kita tahu akan sesuatu hal, ia akan sampai ke pengetahuan kita tanpa perlu kita mencarinya.

Pintu Masuk Utama Tarim

Kota Tarim adalah lubuk ilmu akhirat. Ia masih belum tercemar dengan anasir luar contohnya makanan fast food ataupun hiburan yang melalaikan. Berbanding dengan Kota Makkah & Madinah yang sudah wujudnya Starbuck, Mc D & KFC serta mall yang besar.

Video: Keunikan Kota Tarim

Pengunjung Kota Tarim sudah pastinya adalah insan terpilih yang benar-benar ingin menuntut ilmu akhirat & mendapatkan keberkatan para ulama’ & wali-wali di sana.

Aku melalui pelbagai pengalaman indah di sana. Malahan banyak ilmu yang aku perolehi ketika berziarah bersama Habib Muhammad bin Alwi Al Attas & rombongannya.

Ketenangannya & ketiadaan media hiburan membolehkan aku menumpukan kepada ibadah sendiri di rumah dengan lebih kusyuk. Anehnya, di kota ini aku mampu membaca Ratib Al Attas sebanyak 41 kali dalam masa 12 jam (amazingly aku hadiahkan bacaan tersebut buat diriku sendiri sempena hari lahirku pada 8 Oktober), membaca Selawat Tafrijiyyah sebanyak 4,444 kali, membaca zikir Ya Latif sebanyak 33,333 kali & lain-lain amalan harian. Bukan kerana aku bagus atau hebat tetapi bagiku, asbab dengan izin Allah swt & keberkatan Kota Sejuta Wali ini yang membolehkan aku mempunyai ruang untuk melaksanakan semuanya dengan tenang & aman.

Di kota ini aku belajar bahawa wanita itu perlu bersifat tenang, perbanyakkan zikrullah/amalan & berdiam di rumah untuk ibadah. Wanita tidak perlu terlalu menonjolkan diri di khalayak ramai & perlu ada sifat malu yang tinggi. Kerana itulah wanita di Tarim hanya keluar selepas waktu Maghrib untuk menghadiri majlis ilmu atau membeli-belah di pasar khas untuk wanita pada sebelah petang/malam. Wanita di Tarim di jaga & di hormati. Kemana mereka pergi, akan sentiasa dengan mahramnya atau berkumpulan sesama wanita.

Pintu masuk mini market khusus untuk wanita

Video: Pasar Tani Khusus Untuk Wanita.
Hanya 2 jam sahaja setiap pagi selasa

Di Kota Tarim juga aku belajar beberapa hal semasa menziarahi makam para wali & mendengar tausiah dari Habib Muhammad bin Alwi Al Attas serta Sharif Ahmad, mutawwif yang memimpin rombongan kami di Tarim. Hatiku yang galau terubat dengan tausiah mereka. Ketika itu, aku mencari jawapan, adakah aku isteri solehah yang berada di jalan yang benar atau sebaliknya. Ternyata aku menemui semua jawapan bagi persoalanku.

Antaranya ialah:

1. Isteri berhak memarahi suami jika suami melakukan kesalahan.

2. Ada seorang isteri yang solehah, isteri kepada seorang waliyullah, yakni Al Habib Hassan (makamnya berhampiran dengan makam Imam Abdullah Al Haddad) yang sangat sabar orangnya, tetapi akhirnya memarahi suaminya walaupun hanya sekali dalam seumur hidupnya.

3. Jika rumah tangga dilanda badai, suami hendaklah merujuk atau mendapatkan nasihat dari orang ‘alim. Contohnya seorang lelaki yang datang berjumpa dengan Sheikh Abu Bakar bin Salim, lalu Sheikh membacakan doa kepada secangkir kopi & memberikan kopi tersebut kepada isterinya melalui “tingkap ajaib” di rumah Sheikh Abu Bakar bin Salim, maka berdamailah mereka.

Rumah/Bilik Tidur Sheikh Abu Bakar bin Salim. Tingkap ajaib disebelah kanan.

4. Kemarahan seorang isteri terhadap suami, mampu mengangkat darjat suaminya. Diceritakan oleh Sharif Ahmad, ada seorang wali yang mana, orang bertawasul ke atas namanya walaupun beliau tidak mengetahui kewaliannya sendiri. Darjatnya diangkat asbab beliau dimarahi oleh isterinya setiap hari. Makamnya berada di Seiyun, Hadraulmawt.

Makam salah seorang wali wanita yang solat 1000 rakaat setiap hari.

Subhanallah…aku terkesima dengan semuanya. Kesimpulannya, seorang isteri yang solehah bukanlah yang sentiasa akur atau yang tidak boleh menegur/marah kepada suaminya jika suami berbuat salah. Malahan, asbab teguran isteri itu mampu menaikkan darjat si suami jika isterinya di pihak yang benar selagi mana isteri itu seorang yang beriman & sentiasa dalam keredhoan Allah swt.

Wanita Tarim juga berhias untuk suaminya di rumah & sebelum tidur. Kecantikan disebalik niqab & jubah hitam mereka hanya dipertontonkan untuk keluarga & suami sahaja. Begitu indah & tingginya maruah mereka dijaga dengan sempurna.

Berjalan di celahan rumah
Sheikh Abu Bakar bin Salim

Minum teh adalah wajib selepas makan tengah hari. Dikatakan, teh pekat & pahit adalah untuk mencairkan lemak haiwan (kambing/daging) yang kita makan. Makanan utama mereka adalah nasi arab & roti nan beserta sup atau masakan dari daging kambing. Ia sangat lazat bagiku.

Teh Panas

Nasi Arab

Selama 3 minggu berada di kota barakah ini, aku belajar membaiki hati. Ini kerana setiap lintasan hati, ia akan benar-benar terjadi. Bahkan dengan kemuliaan Kota Tarim, doa-doa yang dibaca juga mudah dimakbulkan.

Ketika aku menghadiri majlis maulid di Dar Zahra, aku telah dinasihati agar mematikan hand phone & dilarang sama sekali untuk merakam apa-apa aktiviti dalam Dar Zahra. Alhamdulillah…semua itu aku patuhi. Namun, sebaik sahaja KELUAR dari Dar Zahra, aku cuba untuk selfie untuk dijadikan kenangan.

Subhanallah…ajaibnya, gambar tersebut rosak sebaik sahaja aku tiba di rumah. Walhal selepas selfie, gambar tersebut elok. Peristiwa ini benar-benar membuatkan aku insaf & rasa malu dengan diri sendiri. Aku bermonolog sendiri “Kesucian Dar Zahra dijaga & adakah aku sedang cuba merosakkannya?” Moga Allah swt ampunkan aku.

Ma shaa Allah, sejak itu, aku dengan sendirinya hilang keinginan untuk berselfie atau memuat naik gambarku di media sosial. Semua itu menjadi tarbiah buat diriku.

Gambar selfie yang rosak

Ini adalah Program perjalanan di Hadramaut Yaman aku & rombongan

1) 4/10/2023 Hari Rabu

  • Sampai di Airport Seiyun
  • Berada di Kota Tarim
  • Berehat pada 4/10/2023 setelah ketibaan terlebih dahulu

2) 5/10/2023 Hari Khamis

  • Ziarah Tarim
  • Ziarah Zanbal
  • Maktabatul Ahgaff
  • Ziarah Jamiah Al-Ahgaff di Tarim
  • Ziarah Masjid-Masjid di Tarim
  • Menghadiri Maulid di Darul Mustofa malam Jumaat bagi jemaah lelaki
  • Menghadiri Maulid di Daruzzahra malam Jumaat bagi jemaah perempuan

3) 6/10/2023 Hari Jumaat

  • Berehat di Tarim
  • Solat Jumaat di Masjid Jamek Tarim

3) 7/10/2023 Hari Sabtu
-Ziarah Seiyun
-Ziarah Hautoh

  • Bermula Ziarah daripada Maseleh dan Husaisah Muhajir ila Allah Ahmad Bin Isa
    -Ribat di Seiyun
    -Masjid2 di Hautoh
    (ambil masa dari pagi sehingga waktu asar utk Ziarah Seiyun dan Hautoh)

4) 8/10/2023 Hari Ahad

  • Ziarah Do’an
  • Ziarah Huraidoh
  • Ziarah Habib Muhammad bin Soleh Alattas
  • Ziarah Ribat Fatah Huraidah bagi lelaki
  • Ziarah Ribat Ummahatul Mukminin bagi perempuan
  • Ziarah Maqam Habib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas Sohiburratib
  • Ziarah Masyhad
    (Ziarah mengambil masa sehingga waktu Isyak)
    -Kembali ke Kota Tarim

4) 9/10/2023 Hari Isnin

  • Ziarah I’nat
  • Ziarah Qasam
  • Ziarah Nabiyallah Hud

5) 10/10/2023 Hari Selasa
-Bergerak ke Kota Mukalla
-Istirahat sehari

6) 11/10/2023 Hari Rabu – 13/10/2023 Hari Jumaat

  • Ziarah Habib Abdullah Baharun di kediaman beliau
  • Ziarah Habib Alwi bin Abdurrahman Alattas di kediaman beliau
  • Ziarah Hami
  • Ziarah Syihir

4) 14/10/2023 Hari Sabtu – 17/10/2023 Hari Selasa

  • Kembali ke Kota Tarim
    -Ziarah Ribat Tarim
    -Ziarah Kuliyyah Alwasatiyyah
    -Ziarah Habaib di Tarim
    -Beli barang2 ole2 utk bawa pulang ke Malaysia
  • 5) 18/10/2023-Hari Rabu – 19/10/2023 Khamis
  • -Ziarah Zanbal
  • -Ziarah Masjid-Masjid
  • 6) 20/10/1023 Jumaat
  • -Bertolak ke Jeddah

Alhamdulillah…terlalu banyak kenangan indah yang tak dapat aku coretkan di sini. Namun ada beberapa kisah yang telah aku nukilkan di FB Zan Aizan. Kalian boleh baca di sini:

https://www.facebook.com/share/1XmLxGbvCM/?

Anak-anak ku di Makam Imam Haddad

Pemandangan dari Makam Imam Muhajir di Seiyun

Setelah meninggalkan Kota Tarim, aku ke Makkah Al Mukarramah & Madinah Al Munawwarah untuk menunaikan umrah sebelum pulang ke tanah air.

Saat itu, aku seperti dilahirkan sebagai insan baru. Ada semangat baru dalam diriku & segala galauku seolah-olah telahku tinggalkan di Kota Tarim. Aku kembali ke tanah air untuk meneruskan perjuangan hidupku & kembali meniti liku-liku hidupku.

“Rohaizan was here

Sehingga ke saat ini, hatiku masih di Kota Tarim. Mudah-mudahan Allah swt izinkan aku ke Kota Tarim lagi. Amin…

Video: Tarim Di Hatiku

Fi khairin wa mutfin wa’afiah.

Love as always

💝Al Faqirah Zan Aizan💝

Jumaat, 10 Rejab 1446H/10 Januari 2025

Leave a comment