Sembuh Dengan Zikrullah

Assalamualaikum warahmatullah

Sebagai manusia biasa & hamba kepada yang Esa, kita tidak dapat lari dari pelbagai ujian penyakit. Sejak dahulu, terdapat pelbagai cara rawatan Islam sebelum munculnya ilmu sains yang semakin diperkembangkan. Walaupun perubatan moden diperlukan, namun perubatan secara membaca ayat Al Quran & zikir tidak boleh diketepikan.

Selain Ibnu Sina, ada ramai lagi ilmuan Islam yang terkenal dalam ilmu perubatan, antaranya Al Razi, Abu Qassim Khal;af Ibnu Abbas al—Zahraawi, Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd dan lain-lain.

Tanpa menolak cara perubatan moden atau kedoktoran, saya sekadar ingin berkongsi beberapa zikir, selawat & ayat Al Quran yang boleh kita amalkan sebagai ruqyah untuk diri sendiri. Sekiranya kita telah disahkan penyakit oleh pakar perubatan, jalanilah rawatan di hospital sebaiknya & makan ubat mengikut aturannya. Namun, sebagai orang Islam, tak salah untuk mengamalkan bacaan ruqyah sebagai ikhtiar & mempercepatkan proses kesembuhan.

Jika penyakit tidak sembuh walaupun telah mendapatkan rawatan di hospital, ikhtiarlah berjumpa perawat Islam yang betul disamping melakukan amalan harian sendiri di rumah. Sesungguhnya, tiada penyakit yang tidak dapat diubati melainkan mati.

Pada tahun 2007, saya pernah menjadi stokis jualan produk Annusyrah Malaysia Bhd yang mana ia adalah produk berasaskan air yang telah ditulis ayat-ayat Al Quran di atas pinggan putih menggunakan dakwat zafran. Dari situ, saya menuntut ilmu dari Ustaz Abdullah bin Mohd Yusof di Ulu Kinta, Perak mengenai ruqyah & cara perubatan Islam menggunakan ayat Al Quran. Selain dengan cara menulis, molekul air juga akan berubah jika dibacakan ayat-ayat Al Quran kepadanya. Kemudian, air tersebut diberi minum kepada pesakit atau mandikan pesakit.

Bermakna, setiap bacaan ayat Al Quran atau zikrullah hendaklah dibaca kepada air, ditempat yang sunyi (supaya tiada percampuran bunyi). Manakala ia hendaklah dilakukan dengan yakin & orang yang melakukan ruqyah itu hendaklah orang yang beriman; menjaga solat & amal ibadah, menutup aurat dengan sempurna & memiliki hati yang bersih (bebas dari hasad & sifat mazmumah).

Sejujurnya, saya bukan perawat. Saya sekadar berkongsi atas dasar pengamalan sendiri, pengalaman dari orang sekeliling dan ijazah dari guru-guru saya. Namun, wajiblah kita fahami bahawa Yang Maha Menyembuhkan adalah Allah swt. Kita sebagai hamba, perlu berusaha, berdoa & bertawakkal.

Saya pernah diuji dengan pelbagai penyakit. Antaranya:
1. Masalah tulang belakang. Boleh baca selanjutnya di link ini: http://iamsaljuputih.blog/2019/10/17/me-prolapsed-intervertebral-disc-pid/
2. 2 kali pembuangan ketumbuhan pada dinding rahim.
3. Pembuangan ovari kiri akibat cyst pecah & kerosakan ovari.
4. Istihadah berpanjangan selama beberapa tahun.
5. Di sihir. (Saya akan ceritakan bab penyembuhan dari sihir ini dalam tulisan yang lain)

Satu perkara yang perlu kita tahu ialah, semua amalan hendaklah dimulai dengan niat.


Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
 
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Antara amalan-amalan yang disarankan ialah:


1. Selawat Syifa – penyembuhan pelbagai penyakit & hendaklah diamalkan secara istiqomah.

Ada ketikanya mak mentua minta saya bacakan selawat & zikir untuknya


2. Selawat Tafrijiyyah – Amalan ini telah diijazahkan oleh mualimah saya, Ustazah Sharifah Hafsah binti Wan Abdul Rahman, Pembimbing Pertubuhan Muafakat Ta’lim Pahang (MTP di Kuantan, Pahang. Hendaklah dibaca sebanyak 4,444 kali dengan niat penyembuhan. Cara bacaan adalah secara berjemaah ataupun bersendirian dalam tempoh tertentu mengikut kemampuan masing-masing.

Boleh tonton di link youtube ini, cara mendapatkan bacaan sebanyak 4,444 kali secara bersendirian: https://youtu.be/agfQn30HN_w?si=84rh3FVNTcLZgrXP


3. Zikir “YA LATIF” – Amalan ini telah diijazahkan oleh Umi Zaitun (Zaujah kepada Habib Mohsin Al Attas, Batu Pahat) semasa saya rehlah ke Surabaya bersama beliau pada tahun 2022. Dibaca sebanyak 33,333 kali mengikut tempoh & kemampuan masing-masing.

Fadhilat zikir Ya Latif


4. Wirin Sakran (Pendinding/Perisai) – Amalan ini telah diijazahkan oleh Ustazah Fitrah Attareemiyyah ketika daurah Kitab Khulasah pada tahun 2020. Dimulai dengan solat hajat 2 rakaat & dibaca sebanyak 7 kali pada air. Air tersebut digunakan untuk minum, mandi & disemburkan ke tempat tidur pesakit atau dalam rumah.

Rujuk link ini untuk bacaan Wirid Sakran: https://youtu.be/1TXZHxbrVAk?si=5UHNqPQw_yRnlmFm


5. Ratib Al Attas – Amalan ini telah diijazahkan oleh Ustazah Sharifah Hafsah sejak 2014 & saya telah bertalaqi bersama Habib Muhammad bin Alwi Al Attas pada tahun 2021 di Kuching, Sarawak. Hendaklah dibaca sebanyak 41 kali sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Dari Kitab PEMBUKA JALAN MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH, susunan Habib Muhammad bin Alwi Al Attas, “Bagi mereka yang mempunyai hajat yang tertentu, membaca ratib pada suatu tempat yang sunyi dengan berwuduk menghadap kiblat dan berniat apa yang dihajatinya, Isya Allah dimustajabkan Allah. Para salaf berkata ia amat mujarab dalam menyampaikan segala permintaan jika dibaca sebanyak 41 kali.”

Antara keajaiban (dengan izin Allah swt) yang pernah berlaku setelah menbaca Ratib Al Attas ialah:

  1. Seorang wanita berusia 72 tahun yang berada di ICU & hampir di tidurkan, sihat semula & oksigennya tiba-tiba naik sebaik sahaja selesai para jemaah membaca ratib.
  2. Seorang wanita berusia 40an telah membaca ratib secara berseorangan dan telah hancur segala sihir yang berada dalam badannya. Menurut beliau, dadanya terasa seperti di tikam sewaktu membaca ratib tersebut.
  3. Seorang wanita yang mempunyai cysts & istihadah selama 3 tahun telah mengalami pendarahan hitam yang banyak sewaktu membaca ratib, tetapi darah tersebut berhenti & cyst nya hilang setelah membaca ratib.
  4. Seorang wanita yang mengalami ketumbuhan dalam rahim & akan menjalani pembedahan telah membaca ratib Al Attas di tanah suci & sekembalinya beliau ke tanah air, ketumbuhannya kecut & pembedahan dibatalkan.

Berikut adalah link bacaan Ratib Al Attas: https://youtu.be/ckeUnDhp-40?si=BaYSivdE6A4XnYcL

Kenangan ketika rehlah ibadah ke Kota Tarim, Hadraulmawt Yaman bersama Habib Muhammad bin Alwi Al Attas (Oktober 2023)


6. Yaasiin FadhilatUstazah Sharifah Hafsah telah mengajar kami & kami telah beberapa kali membaca di Kelas Kelas Selawat Muslimah Muafakat Ta’lim Pahang (MTP) sebagai ikhtiar penyembuh & hajat.

Sila rujuk di link ini untuk khaifiat membacanya: https://www.detik.com/jateng/berita/d-7204042/tata-cara-membaca-yasin-fadilah-lengkap-dengan-keutamaannya


7. Yaasiin 1000 Syifa – Saya telah bertalaqi & diijazahkan oleh Ustaz Haji Hod (Anak murid kepada Almarhum Datuk Harun Din) agar bacaan yaasiin 1000 syifa ini digunapakai untuk tujuan penyembuhan penyakit. Beliau merupakan seorang perawat secara rawatan Islam di Negeri Pahang. Dalam bacaan yaasiin ini terdapat pelbagai ayat syifa dari Al Quran yang akan diselang-selikan dengan bacaan Yaasiin. Ia sangat berkesan jika dikumpulkan seramai 40 orang & dibacakan dengan satu niat yang sama.

Talaqi Yaasiin 1000 Syifa bersama Ustaz Haji Hod di Jerantut, Pahang
Kitab Yaasiin 1000 Syifa’


8. Membaca Surah Al Baqarah dalam tempoh 24 jam. Ada seorang kenalan saya yang telah hilang cyst nya setelah mengamalkan pembacaan selama 6 bulan. Manakala Dermoid Cyst saya telah hilang dalam masa 2 bulan membaca surah ini setiap hari.

Boleh baca kisahnya di sini: https://saljuputih.blog/2021/04/20/dermoid-cyst-hilang/


9. Membaca Bismillah hirrohmanirrohim sebanyak 1,000 kali pada air hujan & air tersebut diberi minum kepada orang yang bodoh/masalah akal, in shaa Allah akan hilang kebodohannya. Ini juga telah ditulis dalam Kitab PEMBUKA JALAN MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH.

Basmallah


10. Membaca Ayat 21-24 Surah Al Hsyr sambil meletakkan tangan di atas kepala. Baik untuk migrain/kemurungan/sakit kepala dan sebagainya yang berkaitan dengan otak, saraf, demam & pelbagai penyakit lain.

Ayat 21-24 Surah Al Hasyr

Hal ini sebagaimana disebutkan dalam kitab Al-Qawanin Al-Fiqhiyah berikut:

وروينا حديثا مسلسلا في قراءة آخر سورة الحشر مع وضع اليد على الرأس إنها شفاء من كل داء إلا السام والسام هو الموت وقد جربناه مرارا عديدة فوجدناه حقا

“Kami meriwayatkan hadis musalsal saat membaca akhir surah Al-Hasyr dengan meletakkan tangan di atas kepala. Sesungguhnya hal itu merupakan obat dari setiap penyakit kecuali kematian. Kami telah mencobanya berulang-ulang dan kami temukan kebenarannya.”

(alQawaaniin al-Fiqhiyyah Li Ibn Jazzy hal 96) Yang dimaksud akhir surah Al-Hasyr dalam riwayat di atas.


11. Membaca Doa Ibrahim At Taimi. Sebaiknya ia dijadikan amalan harian terutamanya bagi orang yang terkena sihir atau santau.

Doa Ibrahim At Taimi


12. Membaca Maulid – Bait-bait syair dalam bacaan Maulid (tak kisah apa jenis maulid) adalah sangat baik & pada waktu Mahalul Qiam adalah waktu terbaik untuk berdoa bagi sebarang hajat atau kesembuhan penyakit.


13. Membaca Lailla haillallah, Selawat ke atas Nabi Muhammad ﷺ atau Selawat Jibril & Istighfar, masing-masing sebanyak 1000 kali setiap hari. Semua zikir ini hendaklah dilakukan dengan istiqomah & yakin bahawa kesembuhan itu adalah dari Allah swt. Sesungguhnya Istighfar itu adalah tanda kita memohon ampun dari Allah swt. Mudah-mudahan dengan kesakitan yang diberikan, Allah swt ampunkan dosa-dosa kita.

Selawat Jibril


14. Bagi pesakit kanser, selepas solat fardu bacalah:
a) Surah Al Fatihah 1x
b) Surah Al Ikhlas 3x
c) Selawat 3x
d) Surah Al Fil 21x


Ini telah diamalkan oleh adik saya yang menghidapi Kanser Limforma & telah sembuh selepas beberapa tahun, disamping menjalani rawatan di hospital.

15. Doa Angin Ahmar. Doa ini boleh dibacakan kepada pesakit saraf atau stroke. Namun, sebaik-baiknya kita membaca doa ini sebagai amalan ketika sihat.

Nabi saw bersabda : 

“Bahawa barangsiapa membaca ‘ARihul Ahmar’, walaupun sekali dalam seumur hidupnya, maka akan dijauhkan dari Penyakit ‘ANGIN AHMAR atau STROKE’.”

Boleh ikut bacaan doa di link youtube ini: https://youtu.be/oCIJki6iseI?si=ORunzLcIqmxmwjsa

Sebenarnya ada banyak lagi ayat-ayat Al Quran atau amalan zikir untuk penyembuhan penyakit yang tak dapat saya senaraikan kesemuanya dalam posting ini. Amalan yang saya sarankan ini adalah amalan basic kepada orang awam, selain mendapatkan rawatan khusus dari perawat.

Kita perlu yakin & tidak putus asa dalam berikhtiar. Jika telah membaca semua yang di atas tetapi masih tidak sembuh, jangan putus asa. Sentiasa bersangka baik dengan Allah swt. Sudah pasti perancangan Allah swt adalah yang terbaik untuk kita.

Yang penting, jangan mengamalkan perubatan yang syirik. Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun. Dan perkara ini adalah tercela secara syara’.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
(Surah al-Jin: 6)

Setakat ini sahaja yang dapat saya kongsikan dalam posting ini. Terima kasih kepada semua guru yang telah menurunkan ilmu kepada saya. Mudah-mudahan Allah swt panjangkan usia guru-guru saya & mengurniakan usia yang barakah buat mereka.

Semoga bermanfaat kepada semua. Bersama kita sembuh dengan zikrullah, in shaa Allah.

Wallahu’alam

Fi khairin wa lutfin wa’afiah.

Love as always
💝Al Faqirah Zan Aizan💝
Rabu, 18 Jamadil akhir 1446H

One thought on “Sembuh Dengan Zikrullah

  1. Pingback: Ovarian Cyst VS Sihir Pemisah | I Am Salju Putih

Leave a comment