
Assalamualaikum warrahmatullah
Sebelum saya memulakan bicara, ampun maaf dipinta seandainya posting ini akan membuatkan ada pihak yang berkecil hati atau tersinggung. Sesungguhnya, tip yang akan diutarakan hanyalah sebagai panduan pengubat jiwa bagi penjaga pesakit tanpa menyentuh peribadi mana-mana individu.
Tip yang akan dikongsikan adalah berpandukan pengalaman sendiri yang menjaga ibu penghidap skizo selama 30 tahun, pengalaman menjaga suami yang dijangkiti TIbI selama lebih 2 tahun & sembuh kembali, ibu mentua yang beberapa kali diuji dengan pelbagai penyakit bertahun-tahun, mak saudara yang stroke selama 5 bulan (sekarang dah meninggal dunia), ayah yang badannya 90% burnt akibat kebakaran rumah & anak2 yang kerap sakit semasa mereka kecil.
Malahan, saya sendiri telah menjalani pembedahan tulang belakang, pembuangan ovari & pembuangan ketumbuhan pada dinding rahim. Semua mainan emosi ini telah saya lalui sejak puluhan tahun lepas. Begitulah juga dengan bisikan halus sang iblis yang telah bersumpah akan menyesatkan manusia hingga ke hari kiamat. Alhamdulillah, dengan izin Nya saya sembuh & dijaga rapi oleh suami, anak-anak & adik beradik.
WAJIB kita fahami bahawa penjaga pesakit adalah MANUSIA BIASA. Mereka ada perasaan & emosi yang perlu dibelai sama seperti mereka membelai pesakit. Oleh itu, penglibatan & keperihatinan orang sekeliling terutamanya ahli keluarga terhadap penjaga pesakit adalah sangat penting. Jangan dibiarkan mereka burnt out. Saya telah menyaksikan sendiri, ramai penjaga pesakit yang akhirnya meninggal dunia terlebih dahulu sebelum pesakit yang dijaga.
Ada beberapa ilmu yang penjaga pesakit perlu pelajari & persiapkan diri dari segi mental, fizikal, intelektual & spiritual. Antaranya ialah:
- Fahami jenis penyakit & cara rawatannya. Cari info dengan bertanya kepada doktor/nurse atau mencari bahan bacaan untuk mendapatkan cara penjagaan yang betul terutamanya bab makanan & perubatan di rumah.
- Fahami tabiat pesakit, terutamanya jika pesakit bukan dari darah daging sendiri atau yang sama-sama membesar di depan mata. Contohnya ibu/bapa mentua/suami yang baharu dikahwini & ipar/biras. Oleh itu, beramah-mesralah dengan orang yang rapat dengan pesakit agar penjaga faham apa tabiat pesakit semasa sihatnya. Semua ini sangat mempengaruhi sikap pesakit.
- Tingkatkan ilmu, iman & amal. Ini penting untuk ketenangan emosi penjaga pesakit dalam situasi dia cuba menenangkan pesakit. Contohnya membaca ayat-ayat Al Quran kepada pesakit, membaca zikir & selawat agar pesakit lebih tenang sekaligus menenangkan diri penjaga pesakit itu sendiri. Jika pesakit jenis yang suka marah, maka penjaga pesakit tak perlu banyak cakap atau berbalah dengan pesakit. Teruskan dengan zikrullah atau diam lebih baik. Mudah2han si pesakit akan ikut berzikir & tenang. Bab solat juga perlu dijaga. Boleh rujuk bab solat di FB saya Zan Aizan di link berikut: https://www.facebook.com/share/p/P2Pwjue6iL5FJL9q/?mibextid=WC7FNe
- Tingkatkan kekuatan intelektual dengan membaca hal-hal yang positif & motivasi agar diri sentiasa positif & termotivasi. Jangan banyak berfikir akan hal-hal yang menyedihkan contohnya “Tentu sedih bila pesakit ni meninggal nanti..aku akan terbayang-bayang saat menyuap makan bla bla bla…” Stop thinking about that! Tak payah over thinking! Ia hanya akan membuatkan penjaga pesakit teremosi & sedih. Penjaga pesakit perlu positif & ceria. Paling penting…jangan banyak termakan dengan kata-kata makcik bawang & elakkan menonton drama-drama berkaitan konflik keluarga atau yang seumpamanya.
- Berhubunglah dengan ahli keluarga atau kawan-kawan yang ceria & sentiasa bersedia untuk membantu. Kadang-kala, penjaga pesakit terlalu mengharapkan individu tertentu supaya turut sama membantu mereka. Contohya dalam bab menjaga ibu bapa: anak yang menjaga akan sentiasa berharap agar adik-beradik lain akan membantunya dari pelbagai sudut tetapi dia akan kecewa, marah & sedih jika apa yang diharapkan tak kesampaian. Masing-masing sudah dewasa & sepatutnya tahu tanggungjawab mereka. Jika tiada kesepakatan dalam adik-beradik, maka redalah dengan apa yang Allah swt tentukan. Dalam hal ini, anak soleh/hah tidak perlu diberitahu satu-persatu berkenaan apa yang perlu dilakukan untuk menyantuni orang tua, mereka sepatutnya auto faham. Begitu juga halnya jika seorang ibu menjaga anak yang sakit, dia mengharapkan suaminya melakukan pengorbanan yang sama sepertinya contohnya menyusukan, memandikan dan sebagainya. Walhal suami perlu keluar bekerja untuk mencari nafkah sekaligus wang untuk perubatan anaknya. Memadailah jika suami membantu setakat yang mampu ketika berada di rumah (bukan tak bantu langsung). Jika mampu, gajikanlah pembantu. Oleh itu, penjaga pesakit perlu meninggikan sifat tawakkal kepada Allah swt, bahawasanya Allah lah yang selayaknya menghantar bantuan atau sesiapa pun orang lain yang sudi membantu penjaga pesakit menguruskan pesakit. Banyakkan berdoa & berserah sepenuhnya kepada Allah swt. In shaa Allah, sekiranya kita menjaga hubungan dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungan dengan kita.
- Bersifat tegas & hati kering. Hal ini agak susah kerana kita sering dimomokkan dengan “Penjaga pesakit perlu berlemah-lembut & sentiasa menatang pesakit bagai minyak yang penuh”. Terutamanya jika menjaga ibu bapa kandung atau mentua. Betulkan niat! Penjaga pesakit tak perlu rasa bersalah untuk bertegas atau meninggikan sedikit suara demi kesembuhan pesakit. Bukan dengan niat marah, benci atau geram kepada pesakit. Jika kita faham, tak hairanlah ada segelintir nurse yang KELIHATAN kasar dalam melayan pesakit di hospital. Baiki hati & jangan mudah buruk sangka. Saya kongsikan video-video ini sebagai contoh cara bercakap yang tegas dengan pesakit jika kita tahu bahawa dari sudut perubatan, pesakit telah sah tidak mengalami sakit yang serius tetapi sekadar “berpura-pura” sakit kerana perlukan perhatian yang lebih. Contohnya, pesakit boleh berjalan tetapi sengaja tak mahu berjalan akibat takut (mungkin trauma akibat pembedahan lutut/patah kaki & sebagainya). Oleh itu, penjaga pesakit perlu memaksa pesakit berjalan jika benar-benar pasti bahawa kakinya telah sembuh.
7. Berfikiran positif & tidak mengadu-domba kepada ahli keluarga yang lain. Contohnya ibu yang sakit mengadu anak A tidak melayannya dengan baik kepada anak B. So…anak B tak perlu bertanya atau memarahi anak A kerana itu adalah cara biasa apabila seorang ibu yang uzur ingin menarik perhatian atau simpati dari anaknya. Jangan berburuk sangka antara satu sama lain, MELAINKAN penjaga pesakit nampak dengan nyata & jelas akan kesan luka/lebam atau pesakit (ibu) sentiasa menangis akibat trauma dipukul & sebagainya oleh anak-anak lain. Na’uzubillah…moga-moga itu tak berlaku.
8. Akui diri penat. Jika penjaga pesakit penat & perlukan rehat, akui & minta tolong dari orang terdekat untuk bantu. Ambil masa beberapa jam untuk rehat & tidur. Ataupun keluar beriadah. Belai diri & jangan terlalu merasakan bahawa hanya penjaga pesakit yang mampu handle pesakit. Perlu lepaskan tanggungjawab kepada orang lain agar mereka tahu apa yang perlu dibantu. Jika rasa nak menangis, menangislah semahu-mahunya. Tak perlu tahan. Berbicaralah dengan Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar.

(Bukit Panorama Sg Lembing)
9. Jaga makan, tidur & kebersihan diri. Penjaga pesakit perlu utamakan diri sendiri. Tak kira sama ada lelaki atau wanita, kebersihan diri perlu diutamakan. Selain emosi, fikizal juga perlu mantap. Pakailah wangi-wangian & baju yang cantik/bersih walupun berada di rumah. Penjaga pesakit perlu hargai diri sendiri & bersyukur kerana dipilih Allah sebagai asbab penghapus dosa dengan menjaga pesakit seikhlasnya kerana Allah swt. Jangan marah atau iri hati kepada ahli keluarga yang lain yang dilihat happy ke sana-sini sedangkan penjaga pesakit tidak berpeluang seperti mereka. Baiki hati & betulkan niat, Allah sedang mengangkat darjat mu & ia adalah jalan syurga buat penjaga pesakit.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a:
Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Amat malanglah! Amat malanglah!Dan amat malanglah.”
Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?
Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”
Oleh itu, penjaga pesakit perlu reda & ikhlaskan diri kerana Allah swt.
10. Tetaplah beribadah. Atur waktu sebaiknya. Jika penjaga pesakit mempunyai kekangan waktu untuk berkhalwat dengan Allah berlama-laman di awal pagi sama seperti keadaan sebelum menjaga pesakit, tak mengapa. Cukuplah sekadar solat sunat tahajjud 2 atau 4 rakaat pada waktu quamulail. Baca Quran & Solat sunat dhuha, istikharah, taubat, hajat, tasbih dan lain- lain boleh dilakukan pada waktu siang ketika pesakit sedang rehat atau ketika ada pembantu di rumah. Yang penting, jangan jauhkan diri dari Allah kerana bisikan syaitan itu sangat mudah meresap ke dalam jiwa penjaga pesakit yang kepenatan & murung. Lazimi lidah dengan zikrullah contohnya lailahaillallah, astaghfirullah & Sallallah ‘ala Muhammad (selawat jibril). Kalau mampu, bacalah sebanyak 1000 kali sehari.
11. Reda & ikhlas menerima taqdir. Berdoalah setiap hari agar diri reda & ikhlas menerima segala apa yang Allah anugerahkan. Agak susah tapi kena cuba. Istighfar atau zikir (sambil melayan pesakit) untuk mencapai tahap sabar, reda & ikhlas yang tinggi. Tenangkan diri & jangan sekali-kali merasa diri terpaling malang. Malahan bersyukur kerana dipandang Allah swt sebagai orang yang selayaknya menjaga pesakit.
Di akhirnya…saya berharap tip-tip ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada penjaga pesakit. Tidaklah mudah untuk meletakkan diri di posisi tersebut tetapi kena cuba. Semua yang Allah susun adalah yang terbaik untuk kita. Banyakkan membaca hauqalah “La hawlawalaquwataillah billah”. Serah semuanya kepada Yang Esa.
Semoga semua penjaga pesakit yang membaca posting ini diberikan kesabaran, ketenangan, kemudahan & kasih sayang dari Allah sebelum dimasukkan ke syurga tanpa hisab.
Wallahu’alam.
Salam sayang dari Al Faqirah Ummu Nuh Al Kherid.
Isnin, 21 Oktober 2024